PADA 2 Mei lalu, ruangan ini mengisahkan bagaimana majlis pengijazahan Universiti Selatan California (USC) dibatalkan secara rasmi atas alasan ia merupakan peristiwa berisiko yang tinggi memandangkan bantahan para siswa-siswi berkaitan pemusnahan nyawa manusia dan harta benda di Gaza selepas tujuh bulan lamanya.
Pihak pengurusan USC cukup yakin akan keputusan tersebut walaupun ramai mempersoalkan ketepatannya terutama para siswazah serta profesor dan pensyarahnya yang rasa terhina.
Ternyata apabila muncul 10 Mei, tarikh keramat yang ditunggu-tunggu, majlis yang telah dibatalkan tiba-tiba tampil di beberapa tempat yang menganugerahkan lebih 15,000 ijazah bagi kali ke-41 di merata universiti berkenaan.
Video rakaman ringkas melibatkan presiden, para dekan, profesor dan staf universiti untuk memberi kata-kata perangsang tersiar luas tanpa sekatan. Malah banyak berakhir dengan ucapan ‘fight on’ (teruskan perjuangan) sambil menunjukkan tanda jari bentuk V!
Asna Tabassum, pemidato terbaik yang telah ditarik balik haknya untuk berucap turut mendapat ijazahnya – major dalam kejuruteraan bioperubatan (molekular dan selular) serta ‘minor dalam menentang genosid’, menurut pengacara majlis seperti juga tercatat pada selempang merah dipakainya, mengikut laporan akhbar Los Angeles Times pada 10 Mei lalu.
Justeru mendapat tepuk sorakan yang gemuruh dari rakan-rakan seangkatan serta para jemputan, bertentangan dengan telahan pihak universiti yang seolah-olah ingin menakut-nakutkan. Dan memburuk-burukkan pihak yang satu lagi. Menurut mereka pihak USC telah termakan dengan dakyah membenci untuk membisukan lawannya. Bodoh sombong.
Ramai yang terus menyoal kebijaksanaan keputusan yang diambil secara tergesa-gesa. Tanpa rundingan mesra. Malah terpaksa. Amat memalukan bagi universiti yang kononnya bertaraf dunia tetapi bersifat pengecut dalam bukan sahaja menghalang bersuara tetapi teks ucapan bakal dibaca di ‘hitamkan’ seperti terdapat pada halaman Instagram.
Hanya yang tinggal untuk dibaca adalah kata alu-aluan, ucapan tahniah, kemudian ucapan terima kasih sebagai penutup. Tidak sampai 10 baris kesemuanya. Begitulah dahsyat sekali tindakan yang tidak berotak dan berwatak seperti yang dikisahkan.
Amerika Syarikat (AS) sebuah negara bebas bersuara dikatakan sedang mengalami gerakan ‘Blackout 2024’. Yakni ramai pemidato ternama tidak dibenarkan berucap, tidak kurang juga menarik diri secara sukarela daripada jemputan di majlis pengijazahan lain kerana berlawanan dengan pegangan perjuangan masing-masing. Sebaliknya mereka sealiran dan memihak dengan pengurusan dibenar dan diraikan.

FITNAH
Bagi kes Asna, yang kebetulan seorang Muslim, mendapati pihak pengurusan USC tidak telus dalam menyampaikan sebab mengapa sesuatu keputusan itu diambil terutama sekali yang berunsur fitnah atau kekaburan yang amat jelas. Oleh itu dianggap sebagai satu cubaan menghalang kebebasan bersuara yang dimegahkan oleh sebuah negara demokrasi terbilang kononnya. Namun memilih bulu. Kesongsangan amal akademik dengan ajaran bertaraf dunia tidak dihiraukan!
Bilangan yang menentang mula menjangkau 60 universiti merentas AS dan setakat ini hampir 3,000 siswa-siswi ditangkap polis atas desakan universiti yang kehilangan punca. Tatkala mereka diseru memutuskan hubungan dengan Israel melalui pelaburan berkaitan senjata atau apa-apa kegiatan yang membantu keangkuhannya terhadap kemanusiaan – Palestin terutamanya selepas mengalami kematian mencecah 35,000 nyawa. Dan lebih-lebih lagi yang cedera.
Semua menunjukkan tindakan tidak berhati perut khasnya kepada ibu dan kanak-kanak. Tidak membezakan rakyat jelata tidak berdosa. Sungguh terseksa derita.
Pertubuhan seperti Human Rights Watch dan American Civil Liberties Union mengutuk penangkapan beramai-ramai para penunjuk perasaan lalu mendesak pihak berwibawa untuk menghormati hak-hak kebebasan bersuara dan berbicara semua. Serta menolak dakwaan beberapa anggota politik yang menuduh universiti membiarkan para siswa-siswi mengancam rakan Yahudi sehingga meningkatkan tekanan untuk memperketatkan kawalan kampus dengan memanggil pasukan keselamatan yang berlaku kasar terhadap para siswa-siswi.
Apapun yang penting untuk diambil perhatian adalah kepelbagaian etnik dan keterangkuman sosial dalam protes kali ini.
Di merata tempat, warga tempatan berkulit cerah bersama berketurunan Arab, Muslim, Yahudi, berkulit hitam, dan berbagai lagi berdiri bahu-membahu dengan rakan-rakan Palestin mereka dalam pendirian sepakat menyatakan hasrat yang satu.
Mereka bersatu sekitar satu set keutamaan yang jelas, menghentikan peperangan, menamatkan sokongan AS terhadap Israel dan Zionisme, memutuskan pelaburan langsung universiti mereka dengan Israel, dan pengiktirafan hak untuk membantah secara aman.
Hatta, siapa yang dapat menduga bahawa kekejaman di jalur bumi Gaza begitu kecil dapat merebak terus ke bumi luas sekutu Israel yang tidak pernah beralah. Tetapi kini mula merasai bahang kemusnahan melalui tindakan rakyatnya sendiri seperti semasa peperangan Vietnam, atau penolakan regim perkauman Afrika Selatan kemudiannya.
Dan kini Gaza menggabungkan kedua-duanya seraya dunia mulai sedar akan kepincangan antara kuasa-kuasa besar yang bersekongkol dalam mempertahankan kezaliman berterang-terangan.
Ini ternyata pada hari keramat 10 Mei juga, apabila perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi secara besar-besaran untuk menyokong bidaan Palestin menjadi anggota penuh badan dunia itu. Satu ketetapan yang menyatakan bahawa rakyat Palestin diterima masuk ke dalam PBB dan memberikan mereka beberapa hak tambahan.
Undian tersebut menerima 143 undi menyokong, 25 berkecuali dan 9 menentang – yakni terkini dari Israel, AS, Argentina, Republik Czech, Hungary, Papua Nugini, Nauru dan Palau. Bukan sahaja bilangan membantah kecil, tetapi juga terpencil.
Keseluruhannya boleh dianggap sebagai suatu tamparan hebat selepas AS mengambil langkah veto dalam Majlis Keselamatan PBB. Justeru, semasa perang di Gaza semakin sengit, rakyat Palestin pada April lalu melancarkan semula permohonan sejak 2011 untuk menjadi anggota penuh PBB, menggantikan status mereka sekarang sebagai ‘negara pemerhati bukan anggota’.
Sekali gus bantahan di kampus-kampus yang akan berterusan menjadi peringatan bahawa pendidikan songsang bertaraf dunia tidak mewajarkan kita hanya membisu, apatah lagi mendukung aliran songsang atas nama bertaraf dunia kononnya sekalipun!-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzukifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










