Merekayasa masa depanMalaysia dinamik bersama AI

Merekayasa masa depan Malaysia dinamik bersama AI

PENYELIDIK Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa menginovasi teknologi terkini demi manfaat masyarakat dan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang di seluruh dunia memberi impak terhadap negara bangsa, tidak terkecuali Malaysia.

Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menghasilkan Malaysia National AI Roadmap 2021-2025 sebagai panduan kepada semua pihak untuk mendukung agenda AI di negara ini.

AI di Malaysia memerlukan satu ekosistem mampan dan sinergistik dalam menjelmakan pengaplikasian AI yang melata, merangkumi semua segmen ekonomi, urus tadbir kerajaan, pendidikan, sosial dan lain-lain.

Pengaplikasian AI dalam kehidupan rakyat Malaysia boleh menjangkau hingga terjadinya transformasi dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga ke perusahaan mikro, misalnya penjual nasi lemak menggunakan AI dalam menghasilkan ramuan terbaik nasi lemak paling sedap, selain juga untuk merangka strategi meningkatkan jualan.

Namun, pengaplikasian AI tidak boleh melupakan aspek fundamental melibatkan penguasaan bidang khasnya sains komputer, terutamanya penggunaan algoritma dan pengekodan, sains dan matematik yang menyokong algoritma terbabit, penghasilan cip pintar yang dapat ‘berfikir’ seperti otak manusia, selain sains kognitif dan neuro yang dapat memahami bagaimana otak manusia berfungsi.

Penghasilan cip pintar terbabit pula melibatkan penggunaan tenaga dan pada era kini, tuntutan terhadap tenaga hijau semakin meningkat, lebih-lebih lagi Malaysia kaya dengan sumber tenaga solar atas asbab iklim Khatulistiwa yang dimilikinya.

Keseluruhannya, inilah yang disifatkan sebagai satu ekosistem AI yang mampan dan berdaya tahan, merangkumi aspek fundamental dan pengaplikasian AI. Lazimnya, ramai pihak bercakap tentang pengaplikasian AI berbanding aspek fundamentalnya.

Malaysia tidak harus ketinggalan dalam menguasai teknologi AI. Kita tidak boleh lagi hanya menjadi pengguna AI (melibatkan pengaplikasian AI), sebaliknya berupaya mencipta AI yang dapat menjana impak meluas di seluruh negara dan dunia (bersabit penguasaan fundamental AI). Ini sejajar dengan salah satu nilai teras Malaysia Madani, iaitu daya cipta, satu tuntutan yang amat tepat pada masanya.

FAKULTI KECERDASAN BUATAN
Menyedari peri pentingnya penguasaan teknologi AI kepada Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) yang pertama di negara ini sewaktu pembentangan Belanjawan Madani 2024.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menubuhkan FAI pertama di Malaysia sebagai satu daripada usaha memenuhi keperluan kontemporari AI negara.

Penubuhan FAI ini hanya memerlukan masa kira-kira tiga bulan sahaja sejak Perdana Menteri mengumumkannya pada 13 Oktober 2023, yang memberikan gambaran kepantasan bertindak secara luar biasa oleh KPT, UTM dan pihak terbabit dalam merealisasikan hasrat negara dalam penubuhan fakulti AI pertama.

FAI bakal menawarkan program khusus bidang AI dalam pelbagai peringkat pengajian serta merentas spektrum disiplin ilmu. Para pelajar akan didedahkan dengan pengetahuan menyeluruh dalam bidang AI, seperti AI generatif, pembelajaran mesin, pembelajaran mendalam, sains data, pemprosesan bahasa semula jadi dan aspek manusiawi serta etika berkaitan AI.

Pada 10 Mei 2024 ini, insya-Allah, Perdana Menteri dijangka akan hadir ke Malaysia Artificial Intelligence Nexus (MY AI NEXUS) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur dan meluncurkan FAI pertama negara yang ditempatkan di UTM Kuala Lumpur bagi memanfaatkan pertumbuhan pesat kawasan Lembah Klang yang menjadi enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia.

MY AI NEXUS 2024 bertujuan menunjukkan keupayaan Malaysia menerima teknologi AI dalam mengukuh pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, mempromosikan peluang pengajian dan penyelidikan dalam bidang AI Malaysia, memperkenalkan FAI yang baharu ditubuhkan serta mewujudkan peluang jaringan dan kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT), industri, agensi kerajaan dan individu yang aktif dalam bidang AI.

Selain itu, Malaysia Artificial Intelligence Consortium (MAI Consortium) turut ditubuhkan bertujuan mengukuhkan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta memantapkan ekosistem pembolehdaya untuk sektor pendidikan tinggi dalam melaksanakan agenda AI.

Konsortium ini berpaksikan kerjasama antara institusi akademik, agensi kerajaan dan industri di Malaysia bagi mempercepatkan kemajuan penyelidikan, pembangunan dan aplikasi AI dalam negara.

Menerusi konsortium ini, kecemerlangan dalam bidang AI dapat dipupuk dengan menghimpunkan penyelidik, pendidik dan pengamal daripada pelbagai IPT dan industri.

Konsortium ini juga menjadi wahana dalam perkongsian ilmu dan kepakaran serta amalan terbaik dalam bidang AI, selain memacu inovasi dan penciptaan impak terhadap penyelesaian masalah kompleks menerusi pemanfaatan teknologi AI.

Tuntasnya, MY AI NEXUS 2024 menjadi satu titik penting dalam mencipta sejarah baharu bagi Malaysia.

Dengan dukungan penuh Perdana Menteri, kementerian-kementerian dan agensi kerajaan, pemain industri, penyelidik, pendidik serta akademia, momen kritikal ini bakal merekayasa masa depan Malaysia yang dinamik bersama AI.-UTUSAN

PROFESOR Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×