CADANGAN yang menteri mesti turun ke padang oleh seorang bekas timbalan menteri pendidikan ekoran teguran Laporan Bank Dunia ke atas kelemahan sistem pendidikan kita baru-baru ini cukup kena pada tempat dan masanya.
Ungkapan ‘turun padang’ kali ini lebih sarat daripada retorik yang lazim difahami. Yakni bukan peluang penggambaran serta publisiti untuk siaran media atau media sosial bagi mempromosi diri. Tidak bertujuan menghebohkan seseorang kenamaan atau peristiwa semata-mata sempena meletakkan kaki di tempat-tempat yang dikatakan tidak layak baginya. Seolah-olah satu ‘pengorbanan’ besar bagi ego yang terlibat.
Lantas, diuar-uarkan seluas mungkin semoga diangkat kedudukannya di mata ramai.
Dan dikekalkan pelantikan, walaupun keberadaannya tidak sempat pun mengeluarkan peluh, apa lagi memahami dan menyelesaikan masalah yang sudah lama mengikat kehidupan rakyat teramai. Mereka terus miskin kedana, tercicir dalam arus perdana Revolusi Industri (IR) 4.0 dan 5G misalnya. Kini kecerdasan buatan (AI) tanpa roh pula tergila-gila. Sedangkan IR 2.0 berkaitan bekalan elektrik masih tidak kunjung tiba.
Selepas enam dekad merdeka. Begitu juga sarana asas lain yang tidak sama rata pembangunannya. Kadang kala, perancangan tergendala. Terpaksa memanjat pokok sebagai prasarana untuk capai internet jua.
Jadi, turun padang setakat menunjuk muka sepintas lalu, membuat pengumuman politik cabuk, kemudian terbang pulang sepantas kilat, sudah lesu. Apatah lagi dibuat pada saat-saat terakhir untuk menghabiskan masa terluang, bagai melepaskan batuk di tangga sahaja. Tidak sedalam contoh-contoh yang dilalui bekas timbalan menteri berkenaan. Berjalan kaki ke sekolah pendalaman untuk sembilan jam. Bayangkan apa lagi yang anak-anak murid lalui setiap hari sekolah.
Maka tidak hairanlah ada yang menyangkal, terutama yang termakan cili. Cukup cepat berkata itu dan ini, sekali gus cuba menegakkan benang yang basah tanpa usul periksa. Dengan tercatatnya berbagai bukti pengalaman yang pahit, mahu tidak mahu terpaksa diterima seadanya menolak sifat munafik yang agak kerap berlaku kebelakangan ini. Lalu merenggangkan lagi hubungan yang sudah genting bersama rakyat. Seolah-olah mengisyaratkan akan amalan selama ini agak nafsi-nafsi belaka. Hanya untuk mengaburkan penglihatan ramai.
Suatu pendedahan yang menuntut perkiraan terhadap cabaran yang dilontarkan – bermalam dirumah panjang kerana kepentingan mutlak pendidikan untuk semua, menghargai undi yang diberi. Kalah apa lagi! Jika tidak kelompongan yang ada akan tetap meronta-ronta dalam jiwa selama-lamanya.
Apatah lagi, orang yang mencabar dan yang tercabar berada dalam kerajaan yang sama. Lebih cepat dibereskan, lebih baik kesepaduannya. Tidak tuduh menuduh pula.

MODEL KOMUNIVERSITI
Memandangkan soal turun padang ini tidak tertumpu pada mana-mana sektor, khasnya pendidikan, maka Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut terpanggil menyahut panggilan yang sama sejak tiga tahun lalu, sebelum Covid-19.
Selepas menginsafi pengalaman pandemik sejak 2019, universiti menyemak semula kerangka ilmiah untuk disesuaikan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 yang diuar-uarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada akhir tahun 2015, yakni setahun awal dari gagasan IR 4.0 oleh Forum Sedunia Davos.
Malaysia cenderung memilih tawaran 4.0 berbanding SDG 2030. Entah kenapa – tetapi yang jelas kita tercicir dalam bab turun padang untuk mengakarumbikan kerja di sana. Untuk cakap serupa bikin (juga sebagai Community Social Benefactors (CSB) seperti yang ditekankan SDG 2030 diseluruh dunia, transformasi mesti berlaku.
Maknanya, UIAM mesti mengorak langkah membuat perubahan sewajarnya, yang kini dikenali sebagai Kerangka Ilmiah Sejahtera (SAF) bertujuan mendakap anggota masyarakat keseluruhannya dengan lebih dekat lagi.
Ia melibatkan semua pelajar serta staf akademik, pentadbiran serta pengurusan, sebagai sumbangan utama bukan sekadar sulaman sampingan seperti sedia ada.
Setakat ini lebih 8, 000 pelajar terlibat melaksanakan lebih 400 projek di anggaran 300 tempat khasnya desa pinggiran yang jarang dijejaki. CSB merentasi tidak kurang 6,000 individu di merata pelosok Malaysia menjadikannya sebati dengan gerak kerja mencakupi wawasan UIAM serta tujuh misi utama dalam mendahului langkah Memanusiawikan Pendidikan.
Cogan ilmiah selama ini, publish-or-perish (cetak-atau-lenyap) diganti dengan do-or-die (lakukan-atau-mati) menekan peri pentingnya CSB dalam semua hal. Bukan acah-acah sahaja. Pengalaman yang diceduk terus dari anggota masyarakat merupakan permata mutiara yang tidak ada tolok bandingnya menggerakkan otak dan watak menjadi bijak. Tidak haprak!
Bukan lagi setakat melepas batuk di tangga. Malah menjadi sumber hikmah pendidikan hari muka. Keluar dari kepompong bilik darjah dan persekitaran sekolah ataupun universiti.
Namun, bukan pula sesuatu yang diada-adakan atas nama berpura-pura. Lebih kepada membentuk generasi budiman yang pandai menabur bakti buat pertiwi sehidup semati. Turun padang, bukan lagi berpantang! Tetapi meletakkannya sebagai paksi tonggak bukan kepalang.
Ekoran itu, UIAM mengenepikan hiruk pikuk ranking atau penarafan atas kepercayaan dan sokongan kuat bekas menteri pendidikan tinggi serta penasihatnya ketika itu.
Usaha yang telah dimulakan hampir tiga tahun lalu berpotensi membuahkan satu lagi anjakan paradigma yang mirip CSB. Bergelar model komuniversiti (communiversity) gabungan kata komuniti dan universiti dengan identiti sendiri. Bukan multiversiti!
Membawa peranan CSB sebagai tiang seri universiti hari muka bersandarkan SDG 2030 dan seterusnya. Ia menyelusuri jejak langkah Universiti PBB – Institusi Kajian Lestari di Tokyo. Pemetaan kearah ini sudah pun dilakukan pada persidangan global tahun lalu. Kini sedang giat dibincang di beberapa peringkat.
Terkini Turkiye dan Qatar. Sebelum itu Jepun dan Korea. Hujung tahun Amerika Utara dan Eropah. Sasarannya, pada 2025 kelak, model komuniversiti akan menjadi kenyataan di peringkat antarabangsa.
Sementera itu, negara tetangga meletakkannya sebahagian dari konsep Universiti Merdeka mereka.
Walaupun begitu cabarannya tidak calang-calang tatkala para peniaga dangkal masih menagih kepercayaan pihak berwibawa yang ranking adalah segala-galanya khususnya kepada yang rabun, apa lagi buta.
Maka masa untuk berwaspada memelihara generasi anak muda dengan jaminan cakap serupa bikin sudah tiba. Sehingga terlahirnya komuniversiti idaman abadi mencerminkan pendidikan yang hakiki.
Supaya tidak lagi berbelah bagi. Bukan sesuka hati. Tetapi mengikut ahli berani turun padang mengakari budi, bijak bestari berdasarkan komuniversiti! Berilmu beramal, suci murni. Tunggu apa lagi YB menteri?-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










