PETALING JAYA: Ketiadaan penyerang Harimau Malaya, Faisal Halim dalam kem latihan skuad kebangsaan kali ini amat dirasainya terutamanya jurulatih, Kim Pan Gon.
Skuad kendalian Pan Gon itu memulakan latihan rasmi bermula semalam sebagai persiapan menghadapi dua baki aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun ini dan Chinese Taipei di Bukit Jalil (11 Jun).
Bagaimanapun, Faisal yang sering kali dipanggil menyertai latihan bersama Harimau Malaya tidak dapat berbuat demikian apabila kini sedang menjalani rawatan pemulihan setelah disimbah asid 5 Mei lalu.
Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dan menggesa agar kebencian dalam bola sepak dapat dihentikan.
“Bukan sahaja pemain bola tetapi anda (media) mungkin akan diserang, mungkin saya. Sukan bola sepak perlu dinikmati. Hentikan kebencian. Pemain kebangsaan adalah khazanah negara.
“Saya berharap perkara ini tidak terjadi lagi dan saya berharap Faisal cepat sembuh,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dalam pada itu, Pan Gon turut tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya ketika melawat Faisal sewaktu pemain itu berada di hospital.
“Saya tidak dapat melihat wajahnya. Saya tidak bercakap dengannya dan dia juga tidak boleh bercakap dengan saya,” katanya.
Faisal sudah dibenar pulang ke rumah, Ahad lalu setelah tiga minggu menjalani rawatan di hospital termasuk empat pembedahan dan dijangka akan berehat antara tiga hingga enam bulan. – UTUSAN










