KUALA LUMPUR: Malaysia kini mengorak langkah proaktif memperkasakan produk dan jenama tempatan bagi menembusi pasaran premium global menerusi agenda nasional yang lebih agresif.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengadakan kolaborasi strategik bersama Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 buat julung kalinya bagi mengangkat keupayaan usahawan tempatan sebagai bukti komitmen negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah ini selaras dengan gerakan ‘Jom Beli Produk Malaysia’ yang dilancarkan pada 27 Jun lalu sebagai evolusi menyeluruh kepada Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia sejak tahun 1984.
Katanya, usaha memartabatkan produk tanah air ini menggunakan pendekatan menyeluruh negara yang melibatkan agensi kerajaan, sektor industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat.
“Kita mahu menjadikan gerakan ini sebagai satu agenda nasional yang berakarkan nilai dan semangat patriotisme ekonom sekali gus memperkukuh peranan produk tempatan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara,” katanya pada Majlis Media Rasmi Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di sini hari ini.
Menurutnya, temasya fesyen bertaraf antarabangsa ini bakal menjadi platform strategik bagi memperkenalkan keunikan dan kualiti premium barangan Malaysia kepada pelancong serta pengguna asing.
“Pendekatan baharu ini secara tidak langsung membuka ruang yang luas kepada produk tempatan untuk berkembang daripada pasaran lokal ke pasaran global.
“Sebanyak 60 jenama tempatan, 35 pereka fesyen dan lebih 20 rakan strategik industri akan terlibat dalam membuktikan ekosistem kreatif dan komersial negara kini semakin matang serta berdaya saing.
“Identiti negara turut diangkat di pentas tinggi menerusi segmen khas ‘Fashion Forward Batik Malaysia’ yang menampilkan 30 rekaan eksklusif daripada 10 pereka tempatan,” katanya.
Katanya, koleksi tersebut akan memartabatkan penggunaan tekstil batik asli tempatan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang diterjemahkan dalam rekaan kontemporari.
“Langkah inovatif ini secara tidak langsung membuktikan kepada dunia bahawa warisan tradisi dan identiti negara mampu bersaing serta memenuhi cita rasa pasaran premium antarabangsa.
“KLFW 2026 yang akan berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos depan di Esplanade, KLCC bakal menjadi bukti keupayaan produk Malaysia di mata dunia,” katanya. – UTUSAN










