PRN Negeri Sembilan: Elak sentuh isu 3R sepanjang kempen

PRN Negeri Sembilan: Elak sentuh isu 3R sepanjang kempen

ALZAFNY Ahmad pada sidang akhbar sempena PRN Negeri Sembilan di IPK Negeri Sembilan, Seremban, hari ini.UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau bahan kempen yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, semua pihak termasuk calon dan penyokong parti perlu berkempen secara berhemah serta mematuhi undang-undang bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman, harmoni dan terkawal.

“Kami memberi penekanan kepada semua pihak supaya sentiasa berhemah ketika berkempen serta memastikan tiada kenyataan yang menyentuh isu 3R melibatkan agama, kaum dan institusi diraja.

“Semua pihak diminta mengelakkan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja sama ada melalui ceramah, bahan kempen, kenyataan media mahupun media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar sempena PRN Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Alzafny mengingatkan semua parti yang bertanding supaya mengawal penyokong masing-masing bagi mengelakkan sebarang bentuk provokasi, perarakan tanpa kebenaran, penyebaran berita palsu, fitnah serta ucapan berunsur kebencian.

Menurutnya, semua pihak perlu memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menghormati hak pengundi serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu kelancaran proses pengundian atau mencetuskan kekecohan di pusat mengundi.

“Selepas keputusan diumumkan, semua pihak diseru menerima keputusan dengan matang dan menggunakan saluran perundangan yang disediakan sekiranya mempunyai sebarang bantahan, tanpa mengambil tindakan yang boleh menjejaskan keamanan awam,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

“Selain Akta Kesalahan Pilihan Raya, siasatan juga boleh dijalankan mengikut peruntukan undang-undang lain termasuk Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya terdapat kesalahan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Alzafny berkata, setakat ini polis belum menerima sebarang laporan berkaitan kesalahan sepanjang PRN. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN