ALOR SETAR: Berdepan pelbagai episod kurang enak menjelang musim baharu Liga Super 2024/2025 menjadi keazaman buat Kedah Darul Aman (KDA) untuk memburu kemenangan pertama ketika menentang PDRM, hari ini.
Tambahan pula Sang Kenari turut menghadapi hukuman pemotongan tiga mata disebabkan isu tunggakan gaji musim lalu yang sudah pasti sedikit sebanyak mengganggu moral pemain.
Justeru, perlawanan pertama itu dianggap misi penting KDA untuk mengekalkan konsistensi mereka yang menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat pada musim lalu.
Pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain berkata, pemotongan tiga mata itu merupakan perkara yang sudah berlalu kerana tiada apa yang boleh mengubah keadaan.
“Kami mahu terus kuatkan semangat dan terus pandang ke hadapan untuk memulakan aksi musim baharu ini dengan tekad dan azam yang baharu.
“Cuma saya berharap keyakinan semua pemain berada pada tahap terbaik bagi memulakan aksi pertama kami agar dapat membawa pulang tiga mata berharga,” katanya.
Sementara itu, Nafuzi menganggap pertemuan pertama dengan PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebagai aksi 90 minit pertama yang dijangka tidak mudah buat KDA.
Katanya, para pemain harus berwaspada dalam pertemuan yang sukar dan sengit itu disebabkan faktor lawan yang memiliki skuad lebih baik pada musim ini.
“Misi kami sudah pasti mahu mendapatkan tiga mata di tempat lawan dan melihat kepada persiapan yang dilakukan pasukan selama ini, semuanya berjalan lancar mengikut perancangan,” katanya.
KDA pada musim ini menyenaraikan enam tonggak import termasuk menandatangani semula penyerang yang pernah menyarung jersi Sang Kenari musim lalu, Ebenezer Assifuah.
Tiga pemain import lain merupakan muka baharu dalam Liga Malaysia iaitu Milos Gordic, Sukhrob Nurullaev dan Jose Cleylton di samping Sony Norde dan Habib Haroon.
KDA turut kembali diperkuat tiga bekas pemain, Syafiq Ahmad, Rizal Ghazali dan Abdul Halim Shaari.
Dalam pada itu, Rizal berkata, dia bersama rakan sepasukan perlu sentiasa bekerja keras dan memberi tumpuan terbaik terhadap arahan jurulatih sepanjang perlawanan menentang PDRM bagi memastikan impian tiga mata menjadi kenyataan.
“Kami bedepan sebuah pasukan yang mampu memberi tentangan hebat sejak musim lepas lagi, dan ini diperkuat dengan kehadiran beberapa pemain yang hebat pada musim ini termasuk bekas penyerang Kedah, Ifedayo Olusegun,” ujarnya. – UTUSAN










