Jangan persoalkan Perkara 153 lagi

Jangan persoalkan Perkara 153 lagi

Perkara 153 adalah satu peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kedudukan khas serta keistimewaan tertentu kepada orang Melayu, anak Sabah dan Sarawak dan kepentingan khas komuniti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKARA 153 Perlembagaan Persekutuan sering dilontarkan dengan pelbagai tohmahan. Perkara ini adakalanya dianggap sebagai punca kepada dasar ‘apartheid’ yang mencengkam masyarakat bukan Melayu.

Adakalanya, Perkara 153 ini adalah satu bentuk diskriminasi yang condong kepada kepentingan orang Melayu sahaja.

Hujah mereka termasuk, mesti ada kesamarataan dalam kalangan warganegara Malaysia dan setelah lebih 60 tahun Tanah Melayu merdeka, orang Melayu tidak perlu lagi bergantung kepada undang-undang dan polisi seperti Perkara 153 yang mendiskriminasi.

Pastinya dua tohmahan ini memberi kesan mendalam kepada institusi yang ditubuhkan khas untuk orang Melayu dan manfaat kepada anak Sabah dan Sarawak yang sering dirujuk sebagai bumiputera.

Pastinya rasa tidak selesa, bahkan rasa marah mungkin timbul dalam kalangan kebanyakan diri orang Melayu, walaupun terdapat dalangan kalangan mereka sendiri yang tidak senang dengan peruntukan ini.

Dari segi pengalaman atau sejarah negara, mempersoalkan isi kandungan Perkara 153 ini adalah antara punca berlakunya tragedi 13 Mei 1969.

Maksudnya di sini, mempersoalkan kandungan Perkara 153 adalah suatu yang begitu sensitif bagi masyarakat Malaysia. Justeru itu perbuatan mempersoalkan isi kandungannya juga dijadikan satu daripada beberapa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas di bawah seksyen 3(f) Akta Hasutan.

Bagi kedudukan khas orang Melayu, sejarahnya bermula semasa pentadbiran British lagi, yang mana, kedudukan khas ini diwujudkan secara khusus dalam Seksyen 19(d) Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Begitu juga dengan kedudukan kepentingan sah komuniti-komuniti lain. Keduanya dinyatakan dengan jelas dalam peruntukan yang sama dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Sementara itu, kedudukan khas anak Sabah dan Sarawak dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi pindaan Perlembagaan yang berkuatkuasa pada 10hb Mac 1971.

APA SEBENARNYA PERKARA 153?
Perkara 153 adalah satu peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kedudukan khas serta keistimewaan tertentu, kepada orang Melayu, anak Sabah dan Sarawak dan kepentingan khas komuniti.

Kepentingan khas atau kepentingan sah komuniti-komuniti lain yang terangkum ialah hak kewarganegaraan, hak untuk diwakili dalam dewan tertinggi iaitu Dewan Negara dan hak untuk diwakili dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ini adalah menurut kenyataan oleh peguam yang mewakili raja-raja Melayu dalam Nota Perbicaraan Memorandum Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid semasa proses membuat draf Perlembagaan Persekutuan.

Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa kepentingan sah ini juga termasuk hal berkaitan kebebasan asasi, terutamanya kebebasan beragama. Ini kerana antara kebimbangan utama komuniti selain Melayu ketika Perlembagaan Persekutuan mula digubal ialah kebimbangan tentang kebebasan mereka.

Kedudukan khas bagi orang Melayu dalam Fasal ini (seringkali juga diterjemah sebagai kedudukan istimewa) bukan hanya diberikan kepada orang Melayu. Ia juga merangkum kedudukan khas kumpulan natif atau diterjemahkan sebagai anak negeri, Sabah dan Sarawak.
Frasa 153 (1) menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris, special position. Fasal ini tidak menggunakan istilah privilege atau privileges walaupun perkataan privileges (keistimewaan).

Maksud kedudukan khas orang Melayu dan anak Sabah dan Sarawak yang dilindungi di bawah Perkara 153 ini ialah memastikan perizaban tentang apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam; daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau seumpamanya atau apa-apa kemudahan khas lain oleh kerajaan Persekutuan dan hal berkenaan permit atau lesen perniagaan atau perdagangan.

Sementara itu, menurut Fasal 153(3), Yang di-Pertuan Agong boleh memberikan arahan am kepada mana-mana suruhanjaya yang bertanggungjawab tentang tiga perizaban kuota yang dinyatakan dalam Perkara 153(2) dan suruhanjaya tersebut hendaklah mematuhi arahan tersebut. Perlindungan kepada orang Melayu juga dapat dilihat dalam hal berkaitan perizaban tanah.

Dengan memberikan ‘keistimewaan pendidikan dan latihan’ yang munasabah, kerajaan boleh menubuhkan institusi pendidikan khusus yang dirizabkan kepada orang Melayu dan anak Sabah dan Sarawak. Justeru, penubuhan institusi khusus seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), adalah menepati peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh kerana perizaban ini adalah berbentuk diskriminasi yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Dalam hal ini, istilah undang-undang yang lazim dan sah digunakan dalam undang-undang Perlembagaan ialah ‘diskriminasi positif’.

Apabila satu undang-undang atau dasar yang perkatakan ialah suatu yang mendiskriminasi, maka hendaklah ditanyakan soalan seterusnya, iaitu, adakah diskriminasi tersebut tidak dibenarkan atau ia dibenarkan oleh Perlembagaan? Jika jawapannya tidak dibenarkan, maka undang-undang atau polisi tersebut adalah tidak sah.

Perizaban kuota bagi tujuan Perkara 153 merujuk kepada penetapan sejumlah peluang atau penempatan khusus untuk orang Melayu dan anak Sabah dan Sarawak. Ia bertujuan mengimbangi keadaan sosial warganegara yang diwarisi kesan pentadbiran sebelum merdeka.

Perlu untuk diinsafi juga peruntukan dalam Perkara 153 ini adalah suatu yang diniatkan untuk memberikan kedudukan khas kepada orang Melayu kerana posisi golongan ini dalam negara. Ia bukan sebagai timbal balik kepada apa-apa faktor atau perkara lain atau ia bukan sekadar menyumbang kepada kestabilan sosial masyarakat.

Ramai juga yang menganggap Perkara 153 satu tindakan afirmatif untuk menjelaskan kedudukan Perkara 153. Penggunaan istilah ini menunjukkan fungsi Perkara 153 sebagai mengimbangi kedudukan sosial masyarakat.

Walaupun perlu difahami bahawa penggunaan istilah tindakan afirmatif di Malaysia tidak semestinya serupa dengan tindakan afirmatif di negara lain kerana Perkara 153 memberikan kedudukan khas kepada masyarakat yang majoriti, bukan bagi kebanyakan tindakan afirmatif ialah untuk menjaga kumpulan minoriti.

Walaupun begitu, tindakan menjaga kedudukan khas kumpulan majoriti ini bukan suatu yang salah. Ia adalah penting untuk keseimbangan masyarakat. Ini kerana kelemahan dan ketidakupayaan kumpulan majoriti dalam sosial, termasuk pendidikan atau ketidakseimbangan ekonomi, akan lebih memberi kesan yang tidak baik dalam hubungan antara komuniti yang beraneka ragam perbezaannya.

Justeru itu suatu pengucapan atau kenyataan berkaitan Perkara 153 tidak sewajarnya menjadikannya sebagai satu polemik yang boleh menggugat sensitiviti masyarakat.

Perkara 153 adalah perkara sensitif tidak seharusnya dibincangkan dengan nada mempersoalkannya.

Sebagai contoh, dalam isu semasa berkaitan UiTM, seharusnya tidak harus ada pihak yang berniat tidak baik dalam membincangkannya dalam khalayak awam. Setiap pihak seharusnya lebih bertanggungjawab dalam membicarakan perkara ini.-UTUSAN

PROFESOR Madya Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz ialah Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN