Ikut parti akan hancur,70% atas pagar penentu

Ikut parti akan hancur, 70% atas pagar penentu

GABUNGAN politik Melayu ikatannya rapuh pasal ahli gabungan sentiasa utamakan kepentingan parti mereka dan bukan kepentingan kesinambungan hidup Melayu. Selagi itulah Melayu akan gagal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sewajarnya mereka sedar dalam mendepani pilihan raya umum (PRU) akan datang jika masih seperti sekarang, akibatnya pasti kalah lagi teruk dan tidak akan mampu menawar apa-apa untuk menubuhkan kerajaan.

UMNO akan menjadi seperti MCA yang hanya mampu bercakap pada dinding. Tatkala itu UMNO dan pengikutnya akan ditendang ke parit dan longkang.

Sabtu lepas, Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sendiri sudah buka pekung UMNO. Dalam satu majlis sambutan hari raya anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) di Johor, diakui oleh Khaled bahawa jumlah pengundi tegar UMNO tidak bertambah meskipun berlaku pertambahan pemilih baharu hampir setiap enam bulan. Demografi menunjukkan 60 peratus adalah pengundi muda di setiap kawasan.

Cuba lihat masyarakat Cina. Mereka datang daripada pelbagai clans (puak), dari doktrin parti yang berbeza. Tetapi apabila memikirkan kepentingan bangsa, diketepikannya setiap perbezaan. Tidak memikirkan kepentingan individu mahupun kelompok yang mereka wakili. Mereka memilih satu parti sahaja. Bukan kerana sayangkan parti itu tetapi untuk pastikan Cina menang.

Kita semua tahu, ahli MCA, Gerakan serta semua kesatuan Cina hanya berpaksikan satu parti sahaja. Ini satu pengajaran buat kita.

Dan lihatlah pula gabungan politik Melayu. Ikatannya rapuh pasal ahli gabungan sentiasa utamakan kepentingan parti mereka dan bukan kepentingan kesinambungan hidup Melayu. Selagi kita berbalah, selagi itulah Melayu akan gagal.

Apakah orang Melayu masih tidak sedar? Bukankah ada pihak lain mempergunakan `Melayu ‘haprak’ untuk tenggelamkan ketuanan Melayu? Dan terdapat kalangan Melayu yang pula terlampau mengejar mahu menjadi pemimpin dan sanggup menggadai sesuatu demi jawatan tersebut?

Hakikatnya hari ini kita tidak perlu fikirkan sangat platform mana untuk bergerak. Kita Melayu boleh sahaja datang daripada mana-mana organisasi. Parti, badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu boleh saja bergabung asalkan demi kepentingan Melayu sejagat.

Yang selalu jadi masalah apabila ahli parti akan memaksa semua ahli gabungan mengamalkan ideologi mereka dan mereka berhak menentukan hala tuju ahli gabungan. Inilah punca utama Melayu tidak boleh bersatu.

Untuk jangka masa pendek, Melayu kena sokong parti gabungan ahli parlimen Melayu semuanya. Tak kira daripada parti mana mereka datang. Elakkan sama sekali sabotaj calon gabungan parti tersebut hanya disebabkan mereka bukan dari parti kita.

Parti gabungan tersebut pula kena pilih calon yang boleh menang tanpa mengira daripada parti mana. Pembahagian kerusi mesti mengambil kira faktor calon boleh menang. Pendekatan mencari keburukan musuh dari sudut peribadi sudah mula memberi kesan negatif. Jadi, jangan keterlaluan, sebaliknya tumpukan kepada pendidikan dan penerangan mengenai keadaan yang sedang menghimpit masyarakat dan implikasi kepada kehidupan Melayu itu sendiri.

Apa yang dimainkan dewasa ini amat berkesan di hati pengundi Melayu. Harus diteruskan dengan lebih kemas lagi.

PERUBAHAN
Untuk jangka panjang, sudah sampai masanya kita mempunyai new set of leadership yang mempunyai karisma dan latar belakang yang bersih serta jelas perjuangannya. Parti berteraskan Melayu rata-rata perlu disusun semula, dengan kepimpinan sekarang harus digantikan dengan new set of leadership dan dasar perjuangan parti harus diperkemaskan.

Biasanya yang bertelagah terdiri dari muka-muka lama politik. Balik-balik dia, tukar-tukar baton sahaja. Masa sekolah dulu-dulu pastinya kita ingat nama dua orang presiden Amerika iaitu Ronald Reagan dan Jimmy Carter. Di UK, Perdana Menterinya Margaret Tatcher. Di Indonesia, Suharto. Di Filipina, Marcos. Di India, Indira Ghandi. Singapura Lew Kuan Yew. Di Jepun, Nakasone. Di Mesir, Anwar Sadat.

Hari ni dalam pentas politik dunia, orang sudah tidak sebut nama-nama ini semua. Ramai yang sudah tidak ada pun. Tapi di Malaysia masih lagi dengan nama-nama yang sama penuhi ruang laman sosial, akhbar dan media elektronik berbicara pasal politik negara.

Betapa lambatnya politik negara kita ini bergerak. Semua ini memberi mesej yang salah kepada rakyat termasuk orang muda. Risau bila mereka kata, “sekarang hanyalah kepimpinan politik yang dimakan usia”.

Di sini ahli politik Melayu mesti berjiwa besar. Mereka seharusnya sanggup berkorban demi kepentingan Melayu itu sendiri. Memang sukar, tetapi itu yang perlu dilakukan.

Ambil sahaja contoh UMNO, ia tidak boleh dibaiki berdasarkan tapak yang sedia ada. Ia harus dilupakan untuk kita boleh membina yang baharu.

Merentasi doktrin politik ideologi, usaha ke arah afliasi politik Melayu dilihat harus diberi keutamaan. Dalam melatari trend dan data terkini, gelombang pengundi muda Melayu adalah angkubah yang signifikan dalam mempengaruhi pola undi. UMNO wajar bersikap pragmatik dalam menentukan kompas arah parti tersebut untuk kekal relevan dalam pentas politik di masa akan datang. Justeru, titik harmoni perlu dicapai antara parti-parti politik Melayu dalam memobilisasi arah sokongan majoriti pengundi Melayu, seterusnya menjadi kuasa dominan politik negara.

Naratif peralihan kuasa terus menjadi polemik tidak berkesudahan pasca PRU14 dan PRU15. Kealpaan UMNO yang masih bergantung harap ‘tuah’ atau mesra digelar ‘king maker’ dalam gabungan koalisi politik dikhuatiri menjurus kepada persepsi penolakan secara total pengundi-pengundi Melayu kepada parti itu.

Siri pilihan raya pasca PRU15 juga menunjukkan isyarat jelas penolakkan parti itu di kerusi-kerusi majoriti Melayu. Secara implisitnya, berdasarkan graviti politik semasa, magntitud cabaran yang perlu diharungi UMNO adalah begitu kompleks. Golongan poliarki dalam UMNO juga wajar bermuhasabah antara kepentingan peribadi dan kelangsungan parti.

Mahu tidak mahu Malaysia perlu akui realiti ini – kita hari ini mundur berbanding 90an dan awal 2000 kerana onar pemain politiknya. Mengecewakan lagi, pergolakan politik yang berkisar itu hanya di sekeliling tokoh-tokoh pemimpin yang berkepentingan peribadi, bukannya berdasarkan isu-isu kepentingan umum.

Pujangga berkata – dunia ini bukan hanya diwariskan oleh generasi terdahulu tetapi juga dipinjamkan kepada kita oleh generasi hari esok.

Orang Melayu perlu memilih bakal ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri dari kalangan Melayu juga. Rumusannya – untuk survival orang Melayu.

Orang Melayu jangan lagi fikir platform parti politik. Mesti tekad merentasi pemikiran politik. Yang ikut parti akan hancur jadinya. Ia tidak menyumbang kepada orang Melayu, tetapi asyik fikir kepentingan peribadi. Para pengundi berapa peratus yang totok berparti. Hanya 30 peratus yang berparti, sedangkan baki 70 peratus lagi atas pagar. Atas pagar inilah yang menjadi penyumbang besar kemenangan.

Adakah esok ini di Kuala Kubu Baharu akan menyaksikan ketetapan dan pendirian ini?-UTUSAN

Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah Penganalisis isu-isu semasa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN