Hal keselamatan negara bukan cerita gosip artis

Hal keselamatan negara bukan cerita gosip artis

KAMAL AFFANDI HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SERANGAN Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Balai Polis Dato’ Keramat, George Town, Pulau Pinang dan pencerobohan Istana Negara, baru-baru ini mendatangkan kerisauan buat masyarakat umum. Lebih merisaukan selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengarahkan semua pegawai dan anggota polis memperketatkan kawalan di kesemua balai polis selain di kawasan berprofil tinggi seperti istana, bangunan pentadbiran kerajaan dan kawasan awam.

Penganalisis jenayah, KAMAL AFFANDI HASHIM ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID menyatakan apa jua serangan selalunya bermotifkan sasaran strategik. Jadi, rakyat tidak perlu gusar atau risau dengan spekulasi yang diwujudkan orang ramai terutama di media sosial.

Kamal Affandi dalam masa sama meminta rakyat Malaysia hanya percaya kepada kenyataan daripada pihak berkuasa kerana pasukan ini sentiasa berkhidmat untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

 

SEJARAH YANG PANJANG

Kita ada sejarah yang panjang mengenai serangan balai polis. Ada balai polis yang diserang dua kali dalam tempoh setahun. Yang paling terkenal di Bukit Kepong tetapi pernah juga berlaku di Temerloh, Pahang, Balai Polis Kuala Muda, Kedah dan Balai Polis Pinggiran Subang di Selangor pada 2017, yang ketika itu seorang anggota terkorban dan senjatanya hilang.

Jadi kalau tanya apa motif, saya sendiri pernah lalui peristiwa ini pada 1990. Ketika itu seorang yang mempunyai masalah mental, merupakan bekas askar masuk untuk membuat laporan kononnya ada orang ingin membunuhnya dalam mimpi. Oleh sebab keterangan dia meragukan dan kemudian gerak-gerinya mencurigakan kerana matanya asyik memadang stor simpanan senjata, jadi dia telah ditahan. Semasa rakaman percakapan, dia telah menetak inspektor berkenaan kemudian merampas pistol. Dia kemudian mengurung dirinya dalam salah satu pejabat di Shah Alam.

Kalau kata sekarang ada (militan) atau tiba-tiba ada, bukan sekarang ini ada tetapi sejak dulu. Malah sebelum tahun 1970, kita ada tentera Jundallah, KARIM dan Kumpulan Crypto Perak. Kalau pun kita berjaya memberkas ahli-ahlinya tetapi ideologi tidak akan pernah padam.

Seperti mana ideologi komunisme. Walaupun seseorang itu tidak mengangkat senjata tetapi dia menyokong usaha itu, menyalurkan dana, tetap dipanggil Penyokong Pengganas Komunis (CTS). Kita juga ada kumpulan yang simpati kepada perjuangan yang dilakukan.

Kalau yang berunsurkan keagamaan, kebanyakannya bermula dari pengaruh Revolusi Iran. Itu yang pertama, faktor ideologi.

Kedua kerana kedudukan polis dalam masyarakat. Mereka lebih terdedah beberapa risiko termasuk serangan untuk merampas senjata. Walaupun hal ini pernah berlaku di sebuah kem tentera dalam peristiwa Al-Ma’unah di Sauk, Perak tetapi untuk (serangan terhadap) polis, ia spesifik kepada mereka yang mahu lakukan aktiviti berkait keganasan atau radikalisme.

IDEOLOGI TIDAK BERUBAH
Kalau saya suruh pakai telekung sebab dikatakan tudung tapi orang lain pakai tudung dan awak hidup dalam keadaan itu (pakai telekung) selama 20 tahun. Apabila awak keluar ke tempat lain, orang kata itu telekung, bukan tudung, adakah kita percaya itu telekung atau tudung?
Ideologinya kalau dah masuk dari peringkat awal memang takkan berubah. Tengok apa paling dekat adalah adab dan adat yang menjadi cara hidup. Sama ada positif atau negatif tapi dihujung skalanya adalah yang negatif itu. Ia satu pegangan yang jadi cara hidup.

Berhubung ke terbaharu di Balai Polis Ulu Tiram dan Istana Negara, ada beberapa kategori, mungkin berkaitan gangguan mental, dipengaruhi, di bawah pengaruh dadah atau alkohol atau ada yang kumpulan kecil atau militan.

Ia begini, langkah demi langkah, mula-mula jadi pengikut biasa, macam kita tengok Facebook seseorang. Mula-mula tengok sekali, kemudian dua kali, kita ini sudah jadi ‘pertahanan’. Apabila ada orang kritik kesayangan kita, akan marah, kemudian kita akan cari mereka ini (pengkutuk) sampai lubang cacing, itu sudah jadi ekstremis. Jadi proses radikalisme ini berlaku juga dalam kehidupan normal seperti kita minat seseorang seperti artis tertentu.

Perkara ini boleh dinilai dalam dua perkara iaitu berbentuk negatif atau positif. Yang minat orang, ikut penyanyi itu semua negatif atau positif?

Begitu juga sekiranya ideologinya awak perlu serang balai, dia buat. Ini adalah proses inisiasi. Kalau ia proses inisiasi, orang perseorangan buat atau kumpulan kecil militan.

Ada juga proses inisiasi untuk memasuki sesebuah pertubuhan. Kita perlu buktikan kita layak iaitu satu bentuk ujian kemasukan. Benda ini banyak berlaku dalam kongsi gelap. Jika ia satu bentuk ujian kemasukan, maka, kita patut risau.

TIDAK PERLU RISAU
Selalunya mereka ini amalkan sasaran strategik seperti stor simpanan senjata ataupun berbentuk atau mewakili kemarahan mereka. Contohnya sebelum ini isu sebuah kilang arak, dulu mahu letupkan kilang itu, kan? Itu adalah contoh serangan sasaran strategik. Kita harus faham mereka akan mencari sasaran strategik atau orang yang menjadi penghalang. Ia bukan rambang, sebaliknya sasaran terpilih.

TUNGGU KENYATAAN
Yang patut kita risau kalau apa-apa kenyataan yang dikeluarkan tidak berdasarkan fakta. Pihak berkuasa sendiri perlukan kesahihan dan fakta sebelum keluarkan kenyataan dan termasuk spekulasi oleh rakyat.

Begitu juga dengan kes cubaan masuk istana. Ini bukan kali pertama. Ia bukan bermotifkan serangan sebaliknya menceroboh istana. Bahkan pernah berlaku di Istana Mestika, Selangor.

Kalau kita dengar spekulasi masyarakat kata ini mencemar kedaulatan kesetiaan kepada raja kita, faktanya mana? asasnya mana? Sebab perkara ini pernah berlaku dan tiada satu pun dikaitkan dengan penggulingan raja-raja Melayu. Jadi sentimen-sentimen oleh mereka yang buat spekulasi ini lebih bahaya kerana pihak risikan keselamatan kita akan lakukan yang terbaik untuk melindungi masyarakat tetapi kita sendiri sebagai orang ramai tidak berdaya melindungi diri kita daripada penyebar spekulasi yang sengaja mahu mendatangkan kegusaran.

YAKIN DENGAN PIHAK BERKUASA
Sebagai rakyat biasa, kita harus yakin terhadap usaha dan proses yang dilakukan pihak berkuasa sementara mereka dijadikan sasaran sekarang.

Maka, kita harus bangkit membanteras berita-berita palsu dari penyebar spekulasi.

Jangan percaya bulat-bulat, jangan jadi pakar jenayah dan apa-apa pakar pun kerana soal keselamatan negara ini bukan gosip artis.

Gosip artis hanya melibatkan artis dan peminat mereka sama ada suka atau tidak. Ini soal keselamatan negara yang melibatkan 34 juta rakyat Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN