DALAM era kecerdasan buatan (AI), trend pekerjaan berubah seiring perubahan teknologi yang mempengaruhi cara kerja dan memerlukan adaptasi yang cepat.
Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF), ancaman AI terhadap pekerjaan di seluruh dunia perlu diambil perhatian serius. Pekerja berisiko menghadapi ancaman kehilangan pekerjaan disebabkan oleh penggunaan teknologi itu yang berkembang pesat.
Teknologi ini merevolusi hampir setiap aspek kehidupan, termasuk dalam pelbagai industri. Dalam sektor pekerjaan masa depan, AI memainkan peranan penting dalam mengubah cara kerja dan mencipta peluang baharu. Walaupun begitu, kehadirannya juga membawa ancaman kepada pekerja.
Menurut kajian WEF, dalam tempoh lima tahun akan datang, sekurang-kurangnya 83 juta pekerjaan akan lenyap di seluruh dunia disebabkan perkembangan teknologi AI.
Berdasarkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), AI bakal memberi kesan kepada hampir 40 peratus pekerjaan di seluruh dunia. Pada 2030, lebih daripada 4.5 juta pekerja di Malaysia berisiko kehilangan pekerjaan akibat ancaman AI. Adakah pekerja kita bersedia menghadapi realiti ini?
Sektor perkhidmatan asas, termasuklah pekerjaan khidmat pelanggan akan mengalami penurunan terbesar, dengan chatbox berasaskan AI menggantikan peranan tersebut.
Menurut kajian, hampir 40 peratus daripada pekerjaan di sektor perkhidmatan akan terjejas dalam tempoh beberapa dekad akan datang. Sektor yang sebelum ini bergantung kepada interaksi manusia dalam memberikan perkhidmatan akan melihat penurunan ketara dalam permintaan terhadap pekerja manusia.
Selain itu, hampir 60 peratus daripada pekerja dalam industri pembuatan menghadapi risiko kehilangan pekerjaan akibat AI. Industri pembuatan yang banyak bergantung kepada proses pekerjaan berulang menghadapi risiko yang tinggi.
Menurut data Jabatan Perangkaan, pengeluaran produk elektronik merupakan penyumbang utama kepada eksport Malaysia dan peluang pekerjaan. Perlaksanaan AI dan automasi dalam proses pengeluaran akan mengurangkan permintaan terhadap pekerjaan fizikal selain menjejaskan peluang pekerjaan sedia ada.
Walau bagaimanapun, di sisi lain, sebanyak 69 bentuk pekerjaan baharu dijangka akan tercipta, kebanyakannya berorientasikan AI dan teknologi baharu. AI bakal mencipta 97 juta pekerjaan baharu di seluruh dunia.
Sementara itu, Malaysia akan mengalami peningkatan sebanyak 30 hingga 35 peratus, iaitu 1.4 juta pekerjaan dalam sektor pekerjaan analisis data, pakar data raya, penganalisis risikan perniagaan, jurutera data dan pelbagai pekerjaan baharu lain yang berkaitan. Ini menunjukkan perubahan yang ketara dalam landskap pekerjaan negara menjelang 2030.
KESEDIAAN PEKERJA
Pekerja perlu mempunyai pengetahuan termasuk tentang teknologi dan aplikasi AI. Ini melibatkan teknologi pembelajaran mesin, pengaturcaraan dan aplikasi AI dalam sektor industri masing-masing. Semakin tinggi pengetahuan, semakin mudah bagi mereka untuk bersedia menghadapi cabaran.
AI diprogram untuk melakukan tugas tertentu dengan cepat dan tepat. Walau bagaimanapun, ia juga mempunyai kelemahan dan batasan seperti kesulitan dalam memahami konteks yang kompleks atau keperluan data yang besar. Dengan pemahaman ini, pekerja industri dapat mengambil langkah-langkah untuk menghadapi dan mengatasi masalah yang mungkin timbul termasuk pelaksanaan sistem keselamatan yang sesuai, pengurusan data yang cekap dan penyesuaian kepada perubahan dalam teknologi.
Sebagai contoh, dalam industri pengeluaran, AI boleh digunakan untuk meningkatkan proses pengeluaran dan memperbaiki kualiti produk. Namun, ia memerlukan latihan yang khusus untuk pekerja menggunakan dan mengurus sistem ini dengan berkesan. Dengan pengetahuan dan latihan yang mencukupi, pekerja mampu menjadikan ia sebagai alat yang berkesan dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi mereka.
Bahkan, pekerja perlu mengenal pasti tugas-tugas dalam pekerjaan mereka yang berpotensi digantikan oleh AI. Ini termasuk tugas-tugas rutin, berulang dan berstruktur yang boleh dilakukan dengan lebih cekap oleh sistem AI.
Dengan mengenal pasti tugas-tugas ini, pekerja perlu mencari cara untuk menyesuaikan peranan dan meningkatkan kemahiran selaras dengan teknologi AI. Dengan cara ini, mereka dapat beradaptasi dengan perubahan teknologi dan terus relevan dalam pasaran pekerjaan yang semakin dinamik.
Meskipun AI mungkin menggantikan beberapa tugas, ia juga membuka pintu kepada peluang baharu. Pekerja industri perlu melihat ancaman AI sebagai peluang untuk meningkatkan kemahiran. Terdapat keperluan untuk mempelajari kemahiran baharu yang lebih relevan dengan era digital seperti analisis data, AI atau penggunaan perisian khusus industri.
Dengan meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang ini, pekerja dapat meningkatkan daya saing dalam pasaran pekerjaan yang kompetitif pada masa akan datang.
Ketika AI mengambil alih tugas-tugas rutin, pekerja industri perlu mengembangkan fleksibiliti dan kreativiti. Ini termasuk kemampuan untuk berfikir di luar kotak, mencari penyelesaian kreatif untuk masalah dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dengan cepat.
Pekerja yang mampu beradaptasi dan bertindak pantas dalam menghadapi perubahan teknologi akan mempunyai kelebihan yang tinggi dalam pasaran pekerjaan masa depan.
Jaringan profesional dan kolaborasi dengan rakan sekerja, industri dan pakar AI juga penting. Dengan berkongsi pengetahuan, pengalaman dan idea, pekerja dapat belajar dari satu sama lain dan mencipta persekitaran untuk berkembang dan berinovasi bersama. Ini juga membuka peluang untuk kerjasama yang lebih baik dari pelbagai pihak dalam menghadapi cabaran dan mengambil peluang yang dibawa oleh AI.
Sejajar dengan kemajuan teknologi, penting bagi pekerja untuk meningkatkan kesedaran mereka terhadap isu-isu etika dan privasi yang berkaitan. Mereka perlu tahu implikasi moral dan sosial dari penggunaan teknologi ini dalam konteks pekerjaan serta memastikan data sensitif dan privasi dilindungi dengan sewajarnya.
Akhir sekali, adalah penting untuk memastikan bahawa transformasi industri yang disebabkan oleh AI adalah adil dan inklusif.
Ini bermakna semua pekerja perlu memperoleh akses kepada peluang pendidikan dan latihan yang ditawarkan serta memastikan bahawa tiada diskriminasi terhadap pekerja.
Dengan cara ini, setiap pekerja mempunyai peluang yang sama untuk berkembang dan beradaptasi dengan perubahan teknologi yang berlaku.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










