PETALING JAYA: Berbaki 59 hari menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirai pada Julai ini, Malaysia masih dibelenggu kebimbangan kecederaan melibatkan tiga atletnya.
Perkara itu turut mengundang keresahan ketua kontinjen Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin terhadap situasi dhadapi Nur Shazrin Mohamad Latif dalam sukan pelayaran, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (basikal trek) dan Lee Zii Jia (badminton).
Bagaimanapun, beliau percaya tiga atlet terbabit masih mampu bersaing di bumi Perancis susulan perkembangan proses pemulihan masih berjalan dengan lancar.
“Shazrin akan menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI) dengan pihak Institut Sukan Negara (ISN) minggu ini. Dia mengalami kecederaan pada pergelangan tangannya.
“Shah Firdaus sedang dalam proses pemulihan dijangka dalam minggu ini. Beliau mengalami kecederaan pada bahu kiri dan ianya merupakan kecederaan lama dahulu.
“Zii Jia mengalami kecederaan ringan. Beliau hanya kejang pada perlawanan separuh akhir (Malaysia Masters 2024) minggu lalu. Pegawai fisioterapinya mengatakan beliau cergas untuk menghadapi kejohanan Terbuka Singapura minggu ini.
Terdahulu, Nur Shazrin mungkin terpaksa melupakan penampilan ketiganya di pentas Olimpik berikutan mengalami kecederaan ketika menyertai kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis, April lalu.
Shah Firdaus pula sedang bergelut dengan kecederaan bahu akibat kemalangan dialaminya ketika tayar basikal meletup semasa sesi latihan Januari lalui serta jangkitan bakteria dialaminya ketika ini.
Dalam pada itu, Hamidin turut menggesa atlet Olimpik negara ini memantau tahap kecergasan dan kemampuan diri agar tidak bergelumang dengan kecederaan menjelang Paris, Julai ini.
Hal ini kerana, beliau tidak mahu para atlet terlalu bertungkus-lumus untuk bersedia dalam persiapan sehingga leka berkenaan isu kesihatan.
“Dalam tempoh dua bulan yang akan datang ini, mereka perlu masuk kejohanan untuk mengekalkan kecergasan serta prestasi yang baik.
“Namun, keadaan mereka perlu dijaga agar mereka tidak mengalami kecederaan di saat akhir nanti,” katanya.
Setakat ini 18 atlet dari tujuh buah sukan berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024. – UTUSAN










