Ancelotti buru sejarah bersama Real 

Ancelotti buru sejarah bersama Real 

CARLO ANCELOTTI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Carlo Ancelotti bakal menjadi jurulatih pertama menjulang trofi Liga Juara-Juara kali kelima sekiranya Real Madrid berjaya menumpaskan Borussia Dortmund di pentas final pada Ahad ini di Stadium Wembley.

Pengendali dari Itali itu sudah muncul pengurus paling dihormati dalam sejarah kejohanan itu, menang dua kali bersama AC Milan pada 2003 dan 2007 serta dua kali lagi bersama Madrid pada 2014 dan 2022.

Bersama Madrid, Ancelotti mengatasi pencapaian pengurus Liverpool, Bob Paisley dan jurulatih terdahulu Madrid, Zinedine Zidane yang masing-masing mengumpul tiga trofi, untuk muncul sebagai ‘Mister Champions’.

Ancelotti memenangi pertandingan itu dua kali sebagai pemain bersama Milan, namun peranannya sebagai jurulatih menjadi sesuatu luar biasa di samping caranya meraikan kejayaan merangkul trofi baru-baru ini dengan berkaca mata hitam selain cerut di tangan.

Jurulatih berkenaan yang akan genap berusia 65 tahun pada 10 Jun ini, dikagumi oleh pemainnya hasil kepemimpinan tenang, yang juga menjadi tajuk terbitan autobiografinya.

Dalam masa yang sama, Ancelotti tahu bagaimana untuk memulihkan pemainnya sekalipun berada dalam keadaan sukar dalam satu-satu perlawanan yang mereka hadapi.

Penyerang Brazil, Rodrygo Goes mengharungi kemarau jaringan di depan pintu gol tetapi Ancelotti terus menyokongnya.

“Ada masanya anda menjaringkan gol setiap kali anda menyentuh bola dan ada masanya anda banyak melakukan percubaan tetapi gagal, Ia akan berlalu pergi,” kata Ancelotti berkenaan prestasi Rodrygo. 

Dengan Ancelotti menyatakan keyakinannya, Rodrygo tidak panik dan akhirnya menemui semula sentuhan jaringannya.

Vinicius Junior seorang lagi pemain yang bergelut namun dengan bimbingan Ancelotti dia kembali menemui tahap terbaiknya pada masa yang tepat.

“Ia sudah diselesaikan. Dia mempunyai bakat hebat dan mempunyai kualiti hebat pergerakan tanpa bola,” katanya tentang prestasi Vinicius.

Pemain tengah Eduardo Camavinga dan Aurelien Tchouameni kedua-duanya pernah diturunkan di benteng pertahanan beberapa kali namun mereka langsung tidak merungut. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN