Akhyar diekori sebelum disamun, pukul

Akhyar diekori sebelum disamun, pukul

AKHYAR RASHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Skuad Terengganu FC (TFC) terpaksa mengadakan sesi latihan secara tertutup susulan kejadian Akhyar Rashid diekori sebelum disamun dan dipukul di pekarangan kediamannya, awal bulan ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim, berkata, langkah itu antara usaha meningkatkan tahap ke­selamatan pemain dan pegawai pasukan.

Hishamuddin berkata, beberapa kamera litar tertutup (CCTV) turut dipasang di pusat latihan skuad Penyu di Kompleks Sukan Gong Badak bagi mencegah insiden malang itu daripada berulang.

“Ekoran kejadian menimpa Akhyar, kami mendapati pergerakannya (Akhyar) diekori suspek dan apabila itu terjadi, TFC terpaksa ambil tindakan drastik atas nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selain mengenal pasti alamat kediaman dan memantau pergerakan pemain, PDRM juga menasihatkan agar sesi latihan TFC diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

“Larangan ini hanya bersifat sementara sehingga keada­an reda kerana bola sepak tidak boleh ditutup kepada penyokong, tetapi atas dasar keselamatan langkah ini perlu dibuat,” katanya.

Hishamuddin berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Dan Hi-Tea Rakan Penaja TFC di sebuah hotel di sini, semalam.

Dalam pada itu, mengulas perkembangan kes Ahyar, Hishamuddin berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan bagi mengenal pasti suspek.

Ujarnya, PBSNT dan TFC meletakkan harapan tinggi agar kejadian seumpama ini tidak berulang sambil menyeru semua pihak bersatu hati dalam memberi sokongan kepada kelab masing-masing.

“Difahamkan siasatan kes Akhyar sudah diambil alih Bukit Aman, jadi serah kepada mereka. Cuma kami harap ini adalah peristiwa terakhir berlaku dalam bola sepak tempatan.

“Serangan ganas terhadap Akhyar dan Faisal (Abdul Halim) tidak sepatutnya berlaku dan kita perlu pamer semangat kesukanan yang tinggi agar wujud keadaan harmoni di atas padang,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN