Tolak Akta Laut Wilayah 2012 sia-sia

Tolak Akta Laut Wilayah 2012 sia-sia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERENGGANU menjadi negeri ketiga selepas Kelantan dan Sabah menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika iaitu 5.5 kilometer dari kawasan pantai.

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Sebelum itu, usul berkenaan yang dikemukakan Mohd. Nurkhuzaini Ab Rahman (Pas-Kota Putera) telah mendapat sokongan sebulat suara semua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Kerajaan Terengganu mengambil tindakan menolak akta tersebut dengan alasan mahu mengembalikan hak royalti kepada Terengganu yang telah dinafikan selama ini.

Ini kerana penguatkuasaan akta tersebut didakwa mengetepikan hak negeri untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika sahaja dari garis air surut wilayah Terengganu.

Selain itu, DUN Terengganu meluluskan usul menolak akta tersebut setelah dilihat tidak menepati syarat seperti yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Perkara 2 (b) menyatakan undang-undang mengubah sempadan sesebuah negeri tidak boleh diluluskan secara sewenang-wenangnya tanpa persetujuan negeri terlibat dan Majlis Raja-Raja.

Sehubungan itu, tindakan Kerajaan Persekutuan yang menyatakan Terengganu hanya berhak terhadap tiga batu nautika dikatakan telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya.

Berikutan itu, kerajaan negeri merumuskan, penggubalan akta itu tidak mengikut perlembagaan dan memberikan beberapa implikasi negatif seperti menafikan hak negeri untuk meneroka sumber dan menikmati hasil di dalam kawasan wilayah negeri tersebut serta menyebabkan berlaku percanggahan serta konflik dengan akta-akta lain.

Sebelum ini, DUN Kelantan telah menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) sejak 2015 manakala Sabah pula mengambil tindakan tersebut pada 2021.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan penggulungan pada persidangan DUN Terengganu itu menegaskan, usul menolak akta itu adalah tanda solidariti semua 32 wakil rakyat terhadap isu royalti yang menekan kerajaan negeri ketika ini.

Bagaimanapun, terdapat pihak tertentu melihat tindakan kerajaan Terengganu sekadar mahu meriah simpati rakyat memandangkan Kelantan selama ini masih tidak mendapat sebarang ‘keuntungan’ walaupun bertindak lebih awal menolak akta tersebut.

Ini ekoran Kerajaan Persekutuan tidak mengambil sebarang ketetapan yang memberi kelebihan kepada Kelantan dalam soal royalti minyak setelah bertindak menolak akta tersebut.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika ditemui penulis, baru-baru ini memberi komen ringkas dengan menyatakan tindakan kerajaan Terengganu menolak akta tersebut sebagai sia-sia sahaja.

Pada Sabtu lalu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan menegaskan bahawa akta tersebut masih sah dan terpakai di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu, walaupun DUN Terengganu membuat keputusan menolak pemakaiannya, melainkan ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah.

Kerajaan Persekutuan berpendirian Akta 750 telah dibuat dan diluluskan oleh Parlimen secara sah di sisi Perlembagaan Persekutuan dalam usaha untuk memastikan hak kedaulatan Malaysia termasuk perairan Malaysia sentiasa dilindungi.

Kenyataan itu juga memaklumkan tujuan Akta 750 digubal adalah bagi mengadakan peruntukan mengenai laut wilayah Malaysia dan memelihara keutuhan sempadan wilayah dan hak kedaulatan Malaysia, serta bagi menjamin keutuhan keselamatan dan integriti wilayah.

Pelaksanaan akta tersebut tidak sepatutnya dipertikaikan kerana ia digubal bagi memenuhi obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS).

TUDUHAN
Pada sidang DUN yang berlangsung selama empat hari itu juga dapat dilihat kebanyakan ADUN mengambil peluang menyerang Kerajaan Persekutuan yang didakwa menafikan royalti minyak kepada negeri ‘Kuwait Malaysia’ itu.

ADUN-ADUN Terengganu yang dianggotai daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) saling meluahkan kemarahan mereka kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah terdapat dalam kalangan wakil kerajaan negeri tersebut menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan menafikan bayaran royalti itu sebagai zalim.

Kerajaan Persekutuan juga dituduh tidak menghayati semangat federalisme kerana mempermainkan isu royalti sehingga menyebabkan Terengganu berdepan tekanan dalam menjaga kebajikan rakyat.

Namun, Ahmad Samsuri dan ADUN-ADUN Terengganu sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan apabila meluluskan memperuntukkan sebanyak RM1.59 bilion untuk pelaksanaan projek pembangunan fizikal di Terengganu tahun ini.

Peruntukan tersebut membabitkan sebanyak 99 projek baharu dan 296 projek sambung untuk manfaat rakyat Terengganu. Antara projek sambung tersebut ialah Hospital Dungun dan Hospital Kemaman serta Jambatan Marang melibatkan peruntukan RM397 juta, selain projek pemuliharaan muara Sungai Dungun, Setiu dan Besut serta hakisan pantai.

Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Terengganu juga memberi fokus untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan 160,000 orang daripada 1.2 juta rakyat negeri ini yang miskin dan miskin tegar termasuk projek fizikal membina baharu serta membaik pulih rumah golongan terbabit melibatkan peruntukan kira-kira RM50 juta.-UTUSAN

PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×