Tiada lagi bantuan, Perlis United sudah dibantu dua kali - MB

Tiada lagi bantuan, Perlis United sudah dibantu dua kali – MB

MOHD SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli mahu pengurusan Perlis United FC (PUFC) menyelesaikan tunggakan gaji dua bulan para pemain musim lalu.

Katanya, pengurusan Perlis United perlu bertanggungjawab dana tidak bersikap lepas tangan dalam isu itu memandangkan sebelum ini mereka sudah dua kali memohon bantuan kewangan daripada kerajaan negeri yang sudah diluluskan.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh mempertimbangkan lagi apa bentuk bantuan terhadap kelab itu kerana sudah dua kali bantuan kewangan diberikan kepada mereka pada kempen Liga M3 musim lalu.

“Malah mereka (pengurusan Perlis United) kata selepas bantuan kali kedua itu, mereka tidak akan memohon lagi sebarang bantuan daripada kerajaan negeri disebabkan sudah ada peruntukan dan mereka kena tunai janji mereka kepada pemain (selesai tunggakan gaji).

“Jadi kerajaan negeri tidak boleh pertimbangkan lagi, sekarang kena letak tanggungjawab sepenuhnya kepada pengurusan Perlis United ini,” katanya di sini, semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, masalah tunggakan gaji skuad Perlis United memaksa beberapa pemainnya melakukan pelbagai kerja termasuk menoreh getah untuk menyara hidup.

Antaranya, Sadam Hashim, 32, antara penyerang cukup prolifik yang mencetak banyak gol ketika beraksi bersama PUFC dalam saingan Liga M3 musim lalu yang kini terpaksa mencari rezeki sebagai penoreh getah.

Nasib sama turut menimpa 23 lagi pemain Perlis United yang terpaksa melakukan pelbagai kerja antaranya bekerja sendiri, berniaga dan penghantar barang bagi menyara hidup.

Menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, mereka sangat berharap agar pengurusan Perlis United bertanggungjawab dan bukan lepas tangan dengan menyelesaikan tunggakan gaji bulan Oktober dan November tahun lalu yang kini sudah memasuki enam bulan.

Sementara itu, Mohd Shukri meminta pengurusan PUFC menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain memandangkan mereka mendakwa semasa memohon bantuan sebelum ini sudah mempunyai sumber kewangan untuk selesaikan masalah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN