PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara, Juan Torres Garrido mengakui sepakan penalti Uzbekistan telah merencatkan rancangan pasukannya sehingga menyebabkan tewas 2-0 dalam aksi pertama Kumpulan D Piala Asia B-23.
Gawang skuad negara dibolosi seawal minit ke-11 menerusi sepakan penalti Jasurbek Jaloliddinov selepas Syahir Bashah menjatuhkan Ruslanbek Jiyanov.
Uzbekistan memperoleh gol kedua pada minit ke-83 menerusi Ulugbek Khoshimov berpunca daripada kesilapan pemain tengah negara, Muhammad Abu Khalil menolak bola ke arah pemain lawan.
Jurulatih dari Sepanyol itu berkata selain penalti, pemainnya kerap menghabiskan masa di kawasan kotak penalti sendiri menjadi punca kepada kekalahan tersebut.
“Perlawanan sebelum ini ada penalti (diberi kepada lawan) bagaimanapun kali ini perlawanan pertama kami sudah beri penalti kepada lawan.
“Satu perkara yang kami perlu perbaiki. Mungkin (punca kekalahan) kami bermain bertahan terlalu lama di kawasan kotak penalti sendiri dan kami juga berlegar terlalu lama di kawasan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar, kelmarin.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama pemain negara terlalu memandang tinggi terhadap pemain Uzbekistan yang pernah menjuarai kejohanan tersebut pada 2018, Juan menafikannya.
“Kami hormat semua pasukan dan kami telah mengkaji permainan mereka. Saya haru akui mereka adalah pasukan yang bagus. Kami tidak fikir mereka lawan yang mudah untuk ditewaskan.
“Kami bermain seperti yang dirancang dengan strategi terbaik. Tidak (terlalu hormat lawan). Mereka antara pasukan terbaik,” katanya.
Malaysia akan bertemu finalis 2018 Vietnam yang sebelum itu menewaskan Kuwait 3-1. – UTUSAN










