PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelaskan, jumlah gaji diterimanya tidak perlu dikongsikan kepada umum kerana ia berunsur peribadi dan perkara itu juga telah mendapat persetujuan bersama.
Beliau yang bekerja sepenuh masa menegaskan, selain gaji, beberapa faedah juga telah ditetapkan ketika dipilih sebagai Presiden FAM pada 2018 bagi menggantikan penyandang, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang ketika itu bergelar Tunku Mahkota Johor (TMJ).
“Itu pun (media) nak tahu. Suka hatilah dengan apa semua. Tak boleh (dedahkan amaun). Itu punya ‘personal’ lah dengan FAM dengan ini semua. That’s one too much dengan ini semua.
“(Adakah jumlah ditetapkan dipersetujui EXCO?) Tiada, memang kita dah daripada yang lepas 2018,” kata Hamidin pada sidang media selepas Kongres FAM ke-60, kelmarin.
Dalam perkembangan sama, Hamidin berkongsi situasi di balik tabir sebelum dia dilantik sebagai presiden sepenuh masa buat FAM pada 2018 seperti yang dimahukan Tunku Ismail ketika itu.
“Saya nak maklumkan semasa Tunku Ismail menjadi Presiden FAM dan beliau mahu serahkan jawatannnya ketika itu, ada pendapat bahawa tidak perlu lagi kerabat diraja masuk dalam (jadi Presiden FAM).
“Jadi Tunku Ismail mahukan individu yang boleh menjadi presiden sepenuh masa seperti yang dilakukan beberapa negara macam Korea Selatan, Thailand, Mongolia, Guam, Jepun dan Vietnam.
“Malah Presiden AFC, Sheikh Salman Ibrahim Al Khalifa dan Presiden FIFA, Gianni Infantino juga presiden sepenuh masa dengan menerima beberapa faedah.
“Tunku Ismail cadangkan saya sebagai presiden dengan beberapa faedah dan selepas berbincang, saya setuju sebelum diumumkan sebagai Presiden Eksekutif sepenuh masa.
“Saya juga membawa perkara ini pada kongres dan mereka setuju untuk memberi sokongan kepada saya,” jelasnya. – UTUSAN










