Marilah bina semula jambatan harmoni yang hampir runtuh

Marilah bina semula jambatan harmoni yang hampir runtuh

JAMBATAN perpaduan yang seolah retak menanti belah harus dibangunkan semula oleh generasi muda agar rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup secara harmoni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA dilahirkan di Kelantan. Sejak dari kecil lagi, saya sering menjadi mangsa buli remaja-remaja nakal dari kampung sebelah.

Pada tahun 80-an, rumah papan lama menjadi tempat perlindungan saya sekeluarga. Berbanding dengan jiran-jiran berbangsa Cina yang tinggal sebaris rumah, keluarga kami paling miskin. Mungkin sebab inilah mengapa keluarga kami sering dibuli,  dilempar bunga api ke dalam rumah, ada juga yang bertindak membuang air di depan pintu, pintu rumah diketuk pada waktu tengah malam dan sebagainya. Tentu saja, mereka juga tidak lupa ‘menghormati’ kami dengan panggilan ‘hormat’, Tok Pek.

Namun, itu semua cuma kenangan lama semasa di kampung halaman. Berdasarkan cerita ini, adakah kita hidup dalam keadaan tidak harmoni?

Apa yang berlaku di masa lampau sebenarnya hanya merupakan perbuatan-perbuatan nakal dalam kalangan remaja kampung. Hakikatnya, orang-orang tua dalam kampung Melayu dan warga Cina saling memahami dan berhubungan dengan baik.  Bahkan, rakan-rakan sekerja dan kawan-kawan berbilang kaum ayah sering datang menziarahi menjelang perayaan dan perkahwinan. 

Sebagai kanak-kanak, saya dan kawan-kawan adalah ‘duta perpaduan’  yang memikul tanggungjawab untuk menghantar kuih-kuih Cina atau buah limau kepada jiran-jiran Melayu. Kami juga sering menerima ketupat dan kuih Melayu yang lazat semasa Hari Raya Adilfitri dan majlis perkahwinan di kampung Melayu.

Pada tahun 80-an itu juga, hubungan antara jiran dalam komuniti sangat santai dan harmoni. Salah satu tempat ‘hiburan’ yang saya dan rakan-rakan amat sukai ialah masjid yang berdekatan dengan rumah, lebih kurang 100 meter. 

Sementara ‘kelab sosial’ buat budak-budak Cina ini adalah aktiviti badminton, berbasikal, bermain skipping, bermain bersembunyi atau memanjat pokok.

Saya yakin Pak Haji (nama panggilan) yang sentiasa berada di masjid menyedari tentang kelakuan nakal kami tetapi selagi tidak mengganggu jemaah bersolat dan aktiviti masjid, dia hanya membiarkan kami sahaja. 

Pada kebanyakan waktu petang yang sunyi dan tenang, Pak Haji duduk di anak tangga depan masjid, melihat anak-anak Cina bermain dan bergurau. Hari Jumaat ialah hari besar dan tenang bagi saya. Melihat pelbagai jenis kereta di seluruh pekan berhenti di tengah jalan, menikmati kedamaian dalam suara solat yang mendayu-dayu di udara.

Begitulah nostalgia ‘budak pekan’ dikelilingi budaya Melayu, yang sukar dilupakan sehingga hari ini.

Meskipun orang Melayu dan Cina kelihatan seperti dua puak (bangsa) berlainan dan walaupun kita terselubung di bawah ketegangan selepas tragedi 13 Mei 1969 tetapi pada masa itu, tiada kempen politik serta  tiada media sosial yang mungkin menjadi batu api retorik perkauman.

ATAS TALIAN

Serangan dan pertarungan kejam antara puak pada zaman prasejarah, barangkali disebabkan oleh perebutan makanan, tanah dan perempuan. Pada zaman yang dipenuhi dengan teknologi media sosial sekarang, mustahil bagi seseorang itu menyertai sesuatu puak demi tiga perkara tersebut. Kebanyakan orang moden sebaliknya berbuat demikian demi ‘pengiktirafan’ psikologi sehingga mendorong ramai orang untuk terus melakukan perang mulut dan pembunuhan lisan terhadap puak lain di media sosial.

Pada dasarnya, berpuak atas talian sama seperti pembunuhan kejam antara puak semasa zaman kuno. Ini dilakukan demi kepentingan sendiri ataupun ahli sepuak yang lain, mempertahankan ideologi-ideologi tertentu, menyerang dan menghentam orang-orang dari puak lain yang tidak sefahaman dengan mereka. Walaupun secara lisan, sikap dan psikologi mereka tetap sama.

Oleh kerana risiko dan tanggungjawab yang dipukul sangat rendah atau langsung tiada, kelakuan saling bertentangan dan berhentaman menerusi skrin telefon bimbit atau komputer menjadi kelaziman. Ahli-ahli dari puak-puak tertentu lebih berani mengeluarkan kata-kata kesat dan kasar, justeru menimbulkan konflik antara puak dan akhirnya menggalakkan keganasan dalam realiti.

 

JAMBATAN HARMONI

Berkenaan dengan tindakan keji sebilangan ahli politik yang sengaja melakukan provokasi  ideologi puak dalam masyarakat majmuk di negara ini, kami sebagai rakyat biasa, yang tiada kuasa untuk menghalang perlakuan seperti itu, tidak dapat menghentikan mereka yang merosakkan jambatan harmoni sedia ada. 

Sebagai rakyat biasa, tidak kira kita seorang jiran, rakan sejawat di tempat kerja ataupun mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masih boleh memperbaiki ‘kerosakan’ ini dengan  membina semula jambatan harmoni dan menjalin hubungan baik antara kaum dalam komuniti. Ini satu-satunya yang kita boleh lakukan.

Jambatan harmoni boleh dilakukan dalam bentuk aktiviti di sekolah yang dapat meningkatkan interaksi antara kanak-kanak pelbagai kaum demi meningkatkan pemahaman tentang sesuatu kaum dan memupuk penggunaan bahasa kebangsaan sejak kecil. 

Dalam kawasan kejiranan pula, kita boleh adakan pelbagai aktiviti seperti acara potluck, bantuan kewangan atau sumbangan makanan untuk membantu jiran yang miskin dan gotong-royong. Aktiviti ini secara tidak langsung membolehkan jiran tetangga yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain, saling memahami masalah hidup masing-masing dan sentiasa menyokong sesama mereka dalam menghadapi masalah hidup. 

Duta Perpaduan yang dilantik oleh Kementerian Perpaduan Negara boleh memainkan peranan  atau mungkin diajak  untuk menganjurkan sesi perkongsian pengalaman tentang bagaimana masyarakat pelbagai kaum membantu dan menyayangi satu sama lain dan sebagainya.

Tidak kira berapa kali orang-orang tertentu cuba membinasakan jambatan harmoni untuk kepentingan politik, kita rakyat biasa jangan berputus-asa sebaliknya teruskan usaha untuk membina lebih banyak ‘jambatan’ untuk kesejahteraan semua.

Hanya dengan cara ini, barulah Malaysia dapat balik ke pangkal jalan harmoni dan perpaduan.

DR. Song Beng Kah ialah Profesor Madya di Sekolah Sains, Universiti Monash Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN