ALOR SETAR: Penyokong skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC boleh menarik nafas lega apabila kelab itu telah menyelesaikan tunggakan gaji musim 2023 untuk semua pemain dan pegawainya.
Pembayaran itu merangkumi pasukan utama Liga Super, KDA FC B (Piala MFL – Bawah 23 Tahun), KDA FC C (Piala Presiden – Bawah 20 Tahun) dan KDA FC D.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA, Shahrul Samsudin berkata, kesemua tunggakan termasuk pembayaran kepada staf pentadbiran kelab dilakukan semalam.
“Alhamdulillah, pihak pengurusan berjaya mengatasi masalah tunggakan yang membelenggu kelab sejak hujung tahun lepas dengan daya usaha semua terutamanya pemilik, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar yang tidak putus-putus mencari penyelesaian terbaik.
“Dengan selesainya isu tunggakan gaji tahun kewangan 2023 sebelum tarikh akhir yang diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) iaitu 20 April ini, bermakna KDA FC telah memenuhi syarat seterusnya mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini,” katanya di sini, semalam.
Shahrul berkata, KDA turut menghargai bantuan penyokong setia yang mengambil peluang disediakan untuk menyumbang kepada usaha-usaha yang dilancarkan sebelum ini.
“KDA FC memerlukan dana kewangan yang kukuh, stabil dan terjamin. Kami amat berharap kepada sokongan dan sumbangan berterusan daripada semua pemegang taruh industri bola sepak iaitu pihak penaja dan penyokong.
“Saya positif dengan perkembangan situasi terkini, KDA FC akan menumpukan pelaksanaan hala tuju dirancang untuk musim 2024/25 serta musim-musim mendatang dengan lebih tersusun, efektif dan jitu mengikut kerangka yang lebih efisien,” katanya. – UTUSAN










