PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggesa semua pasukan yang beraksi di liga amatur pada tahun ini memperkukuhkan kewangan pasukan masing-masing sebelum mengambil pemain dari luar negara.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan tentang kewangan setiap pasukan yang bertanding agar tidak berlaku isu permasalahan gaji dalam kalangan pasukan amatur ini.
“Saya mahu setiap pasukan amatur mempunyai kewangan yang kukuh sebelum mengambil pemain dari luar negara.
“Kita juga telah meletakkan syarat kepada setiap pasukan yang ingin mengambil pemain dari luar negara harus membayar deposit enam bulan gaji kepada kita, Kemudian barulah mereka boleh ambil pemain dari luar negara.
“Deposit ini sebagai jaminan sekiranya berlaku isu permasalahan gaji dalam kalangan pemain,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran logo baharu pertandingan anjuran Liga Bolasepak Amatur (AFL), semalam.
Yusoff yang juga merupakan Pengerusi AFL berkata, penstrukturan baharu yang dilakukan ini adalah untuk memastikan kancah bola sepak Malaysia lebih sistematik dan lebih teratur terutama dalam menangani masalah kewangan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan isu gaji dan pengurusan kewangan yang lemah ibarat cerita yang tiada kesudahan dan lebih menyedihkan ia merosakkan ekosistem perkembangan bolasepak di negara ini. – UTUSAN










