Hikmah kisah Nadir sisi keikhlasan Anwar

Hikmah kisah Nadir sisi keikhlasan Anwar

SAMBUTAN Aidilfitri Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman tahun ini jauh lebih bermakna selepas anak-anaknya pulang ke pangkuannya dalam keadaan selamat atas langkah diplomasi insani oleh Anwar Ibrahim.-FB NADIR AL-NURI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, adalah seorang insan yang istimewa. 

Lahir di Bangi pada 1987, beliau memiliki ijazah sarjana muda Sains Marin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum menyambung pengajiannya untuk ijazah kedua di The Islamic University of Gaza dalam bidang Syariah.

Bermula dari menyambung pengajiannya, Nadir menetap di Gaza sejak 2013 dan kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan seorang balu pejuang Palestin yang mempunyai lima orang anak bernama Reem Al-Minawi pada 2016.

Melalui CGM, Nadir mengumpul dana bagi membina semula kawasan yang terkesan oleh perang di Gaza, termasuk Bantuan Musim Sejuk dan Bantuan Pendidikan untuk Darul Arqam Sha’af dan Darul Arqam Mahattoh serta Madrasah Tuffah dan Madrasah Dalal Al-Moghrabi.

Ekoran aktiviti kemanusiaannya di Gaza, Nadir mempunyai ramai pengikut di media sosial. Di laman Instagram, beliau mempunyai lebih 280,000 pengikut. Di laman Facebook, beliau mempunyai lebih 170,000 pengikut. Di laman X, beliau mempunyai lebih 36,000 pengikut.     

Bapa beliau, Dr. Kamaruzaman Yusoff, adalah bekas pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan di Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mengkhusus dalam bidang politik Timur Tengah.

Kamaruzaman juga adalah salah seorang pemuka Pas. Sekian lama beliau bergerak aktif dalam Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) dengan menjadi Setiausaha dan jawatan terakhirnya adalah sebagai Pengarah Pilihan Raya DUPP bagi sesi 2021-2023.

Ibu Nadir, Zuryati Yasin, pula adalah seorang yang aktif dalam Yayasan Amal Malaysia dan Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP). Zuryati adalah penerima anugerah Tokoh Al Khansa’ di sidang muktamar Dewan Muslimat Pas Johor kali ke-34 pada 5 Ogos 2022.

Dengan latar belakang begini tidak hairanlah bila Nadir juga kuat menyokong Pas. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Nadir turun berkempen untuk cuba memenangkan calon Pas di kerusi Parlimen Bangi, Muhammad Nazrul Hakim Md. Nazir, tetapi calon ini kalah.  

Di peringkat nasional, Nadir juga berkempen untuk Pas dan Perikatan Nasional (PN). Dalam salah satu kempennya, beliau menyatakan sokongan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berbanding Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Di sebalik sokongannya kepada Pas dan PN ini, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar tidak mengganggu malah membantu aktiviti CGM mengumpul dana bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza bersama-sama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Sewaktu serangan terbaharu Israel ke atas Palestin yang bermula pada Oktober tahun lalu, Nadir berada di Malaysia dan terpisah dengan isteri dan anak-anaknya yang berada di Gaza menyebabkan beliau sering meluahkan kegusaran  ke atas keselamatan mereka.

Ekoran itu, beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif  Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr. Ahmad Sani Abdul Alim Araby, telah berjumpa Anwar yang kini adalah Perdana Menteri di satu majlis di Shah Alam beberapa hari sebelum Anwar terbang ke Jerman pada 10 Mac lalu.

Dalam ramainya orang, tulis Nadir, sempat beliau maklumkan kepada Anwar mengenai keluarganya yang terkandas di Rafah. Anwar hanya sempat membelek kiriman Nadir, memberikan respon ringkas ‘saya akan bantu’ dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya.

Sehari sebelum Aidilfitri, iaitu pada 9 April lalu, Nadir dihubungi  Setiausaha Politik Anwar, Farhan Fauzi, yang sebelum ini kerap menjemput Nadir ke pejabatnya di Putrajaya dan selalu menghubungi Nadir bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di Gaza.

Nadir dan Ahmad Sani dimaklumkan untuk datang ke satu lokasi khas. Saat sampai, sudah ada kenderaan hitam menanti dan saat pintu kenderaan dibuka, Nadir diterpa anakanda beliau yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam membuatkan air mata beliau gugur kegembiraan.

Mengikut Nadir, misi ini dikatakan ‘misi gila’ kerana bukan mudah untuk mengeluarkan keluarganya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, namun secara senyap Anwar menghubungi pihak sana. Akuinya, ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain.

Dari seorang yang asalnya tidak menyokong Anwar, terus sahaja Nadir berubah menjadi pengagum beliau. Masakan tidak, proses pengambilan keluarga Nadir berjalan secara cepat, teratur dan lancar dalam tempoh sebulan sahaja tanpa disertai dengan sebarang publisiti.

Seperti kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Anwar memanfaatkan seluruh jaringan diplomatik dan tidak diplomatik untuk misi ini, termasuk kerjasama yang diberikan oleh Presiden, Abdel Fattah Al Sisi dan kerajaan Republik Arab Mesir.

Tulis Nadir, tindakan Anwar menghalang kemasukan kapal milik penjajah ke pelabuhan kita, ketegasan menyatakan sokongan kepada Hamas dan mutakhir jawapan berpendirian di hadapan Canselor German menjadikan nama Malaysia disebut-disebut dalam kalangan marhaen di jalanan bumi penuh keberkatan selain menjadi bual bicara di peringkat antarabangsa.

HIKMAH

Harapan yang tinggi juga Nadir letakkan kepada Anwar untuk menjadi jaguh di peringkat dunia dan berani mengiringi kata-kata dengan langkah di alam nyata. Tegas beliau, Palestin pernah bergantung kepada garangnya Saddam Hussein, kemudian lantangnya Erdogan, kini tiba giliran kita dan yang boleh kita banggakan ialah ketegasan Malaysia dalam bersolidariti.

Hikmah dari peristiwa yang menimpa Nadir ini ialah ia menunjukkan kepada semua betapa Anwar adalah seorang pemimpin yang ikhlas membantu setiap warganegara Malaysia tanpa mengira pegangan politik mereka, tanpa ada diskriminasi dan tanpa ada dendam di hati.

Lebih dari itu, Anwar juga kini diakui sebagai seorang pemimpin yang tegas memperjuangkan nasib Palestin sehingga nama Malaysia menonjol di peringkat antarabangsa.

 Semoga kisah dan saranan Nadir ini akan mampu membuka mata penyokong dan pemimpin pembangkang, khususnya dari Pas dan PN, untuk bersatu di belakang Anwar.-UTUSAN

DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN