Berundur bukan penyelesaian masalah - Wan Jamak 

Berundur bukan penyelesaian masalah – Wan Jamak 

PERJALANAN skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 masih mencabar. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada ribut, tiada angin namun berita mengenai hasrat Kim Pan Gon selaku ketua jurulatih Harimau Malaya mahu berundur tersebar di seluruh negara.

Desas-desus itu hadir selepas pasukan kebangsaan gagal mencatat keputusan positif dalam dua perlawanan bertemu Oman pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas kedua-dua aksi tersebut berkesudahan tewas 0-2.

Pan Gon menerima kecaman hebat daripada penyokong selepas beliau mencatatkan empat kekalahan daripada lima perlawanan terakhir bersama Harimau Malaya.

Bagaimanapun, bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan mempunyai pendapat berbeza, malah menyifatkan pengendali dari Korea Selatan itu tidak perlu dihukum sehingga perlu melepaskan kedudukannya.

“Perjalanan beliau bersama pasukan kebangsaan masih jauh dan beliau tidak boleh tinggalkan pasukan dan tugasnya disambung oleh jurulatih lain.

“Beliau perlu habiskan tugas bersama Harimau Malaya dan selepas itu jika tidak melepasi sasaran yang ditetapkan baru beliau boleh memikirkannya (letak jawatan),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, penilaian secara holistik perlu dibuat terhadap Pan Gon dan bukannya beliau meninggalkan pasukan selepas gagal membantu Harimau Malaya mencatat kemenangan.

“Kita tidak boleh menilai beliau daripada dua perlawanan sebelum ini (menentang Oman). Sebagai penyokong, saya tidak akan menilai beliau seperti itu. Penyokong yang tak tahu pasal bola sepak sahaja yang akan minta jurulatih letak jawatan apabila kalah.

“Apa-apa kita perlu lihat daripada sudut positif. Jika seseorang itu melakukan 10 kebaikan dan satu kejahatan, janganlah kita tekankan pada satu keburukan itu sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN