Urus sumber hutan secara lestari

Urus sumber hutan secara lestari

HUTAN Simpanan Kekal (HSK) di Kelantan yang dibotakkan untuk tujuan ladang monokultur sehingga mengganggu habitat hidupan liar dirakam pada 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun, Malaysia tidak terlepas meraikan Hari Hutan Antarabangsa yang pertama kali disambut pada I974 di Sarawak. Sambutan ini diraikan di peringkat kebangsaan di negeri-negeri mengikut giliran dan disertakan dengan tema.

Setiap negara digalakkan untuk menganjurkan program dan aktiviti sama ada di peringkat kebangsaan mahupun tempatan yang melibatkan hutan dan pokok.

Walaupun hutan merupakan aset semula jadi negara yang penting dan amat bernilai untuk manusia, haiwan dan tumbuh tumbuhan, namun sejak beberapa tahun kebelakangan, timbul kebimbangan dan polemik dalam kalangan aktivis alam sekitar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan alam sekitar, netizen media sosial dan pelbagai pihak terhadap eksploitasi sumber hutan di Semenanjung Malaysia khususnya kawasan perlindungan (PA) yang berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Sebelum ini, satu tapak sambutan Hari Perhutanan Peringkat Kebangsaan yang diwarta sebagai Pusat Penyelidikan Perhutanan dimansuhkan. Begitu juga terdapat kawasan perlindungan yang diwartakan sebagai Rizab Hidupan Liar juga dimansuhkan serta sebilangan kawasan HSK yang dikelaskan sebagai hutan perlindungan mengikut Seksyen I0, Akta Perhutanan Negara I984 (Akta 3I3, kini tidak lagi dikelaskan sebagai hutan perlindungan mengikut peruntukan undang undang tersebut).

Terkini pula, timbul kebimbangan apabila Kerajaan Negeri Kelantan bercadang mengubah Rancangan Pemajuan melibatkan Rancangan Struktur Negeri (RSN), Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK).

Cadangan itu berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan (MMKN) bagi kali ke 22/2020 yang bersidang pada 2I Oktober 2020 memutuskan supaya HSK kecuali punca air/tadahan air di Kelantan tidak lagi diklasifikasi sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Antara eksploitasi sumber hutan di Semenanjung Malaysia khususnya kawasan perlindungan berstatus HSK ialah pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (atau ladang hutan), kegiatan selain guna tanah hutan (status tanah masih HSK) dan pemansuhan status HSK sama ada sebahagian / keseluruhan.

Ketiga-tiga trend eksploitasi sumber hutan tersebut boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.
Malah ia tidak selari dan bercanggah dengan beberapa dasar, ketetapan dan peruntukan undang-undang sedia ada.

LADANG MONOKULTUR
Isu utama yang kerap diketengahkan berhubung eksploitasi sumber hutan ialah kebimbangan terhadap trend beberapa Pihak Berkuasa Negeri yang menggalakkan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam kawasan HSK seperti menurut Dasar Perindustrian Kayu Negara (NATIP).

Dalam salah satu proviso Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) juga menggalakkan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK.

Pada 2012, Majlis Tanah Negara (MTN) bersetuju seluas 439,189 hektar tanah diperuntukkan sebagai zon pembangunan ladang monokultur dalam HSK di Semenanjung Malaysia.

Negeri-negeri yang giat melaksanakan pembangunan ladang monokultur dalam HSK dan membimbangkan ialah Kelantan, Perak, Pahang, Kedah dan beberapa negeri lagi.

Pelaksanaan itu memusnahkan litupan hutan asal (hutan asli) melalui amalan pengusahasilan secara tebang habis.

Perlu diketahui bahawa sesuatu kawasan HSK di Malaysia menjadi hutan miskin atau hutan terosot bukan disebabkan faktor semula jadi tetapi kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram.

Ini ditambah pula kelemahan pihak berkuasa yang dilihat gagal melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram di kawasan HSK.

Berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), didapati kebanyakan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur tidak mengikut kriteria sebagaimana Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Bil 1 Tahun 2010 dan Garis Panduan Penubuhan Ladang Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Malah terdapat projek dilakukan tanpa kawalan walaupun Pihak Berkuasa Negeri mengakui mempunyai standard dan prosedur operasi dan diluluskan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Terdapat juga kawasan pembangunan ladang monokultur merupakan kawasan koridor hidupan liar terutama habitat dan kawasan keliaran mamalia besar serta kawasan Rangkaian Ekologi, Central Forest Spine (CFS): Primary Linkage.

Antara isu berbangkit berkaitan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK ialah:
• Pembangunan di kawasan yang berkecerunan melebihi 25 darjah
• Memusnahkan kawasan rizab sungai / zon riparian
• Melaksana projek di kawasan yang bukan ditakrif sebagai hutan miskin/hutan terosot
• Pemilihan spesies pokok yang tidak disenaraikan (contoh: Durian Musang King)
• Terdapat projek yang pernah beroperasi tetapi tidak mengemuka dan mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) terlebih dahulu.

KEGIATAN LAIN
Di samping itu terdapat kegiatan dan pengubahan guna tanah selain guna tanah dalam HSK seperti kegiatan pengkuarian, perlombongan, pertanian, akuakultur dan beberapa kegiatan lain.

Pihak Berkuasa Negeri perlu mematuhi ketetapan melalui Mesyuarat MTN kali ke-70 pada 2014 bahawa mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam HSK.

Sekiranya semua Pihak Berkuasa Negeri komited untuk memastikan sumber hutan terutama HSK terpelihara, maka perlulah mengambil tindakan mengganti semula kawasan HSK yang telah dimansuh mengikut Seksyen 12, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan menyiarkan kepada umum kawasan yang diganti.

Saya berpendapat, selagi Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa ‘mutlak’ kepada negeri membuat keputusan dan menguruskan hal perhutanan selagi itulah trend eksploitasi sumber hutan akan berlaku kecuali ‘dipinda’ Perlembagaan tersebut yang memberi juga kuasa kepada Kerajaan Persekutuan membuat keputusan terhadap hal hal perhutanan.

Diharap sempena Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini, semua kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia tekad, komitmen dan dengan kesungguhan politik menguruskan sumber hutan secara lestari dan mampan.-UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Lapangan, Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN