KERAJAAN melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka akan membentangkan di Parlimen dalam waktu terdekat Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Mengenai Pemberian Kewarganegaraan. Disebabkan sebahagian daripada ahli masyarakat, malah ahli Parlimen juga mendakwa mereka tidak mengetahui butirannya maka eloklah dibincangkan mengenainya secara satu per satu.
Pindaan Perlembagaan ini melibatkan lapan perkara. Pertama ialah pemberian kewarganegaraan melalui kuatkuasa undang-undang kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara. Pindaan ini sepatutnya diterima oleh semua pihak kerana memberi peluang kesamarataan jantina kepada warganegara Malaysia untuk mendaftarkan kewarganegaraan anaknya yang lahir di luar negara malah ia dijangka akan mendapat sokongan semua ahli Parlimen kerana selaras dengan manifesto kesemua gabungan politik utama di Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kedua ialah keperluan mendaftarkan kelahiran luar negara dalam tempoh satu tahun dari tarikh kelahiran. Pindaan ini penting dan tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu isu oleh mana-mana pihak kerana membolehkan setiap kelahiran rakyat Malaysia di luar negara dapat didaftarkan dengan lebih jelas dan teratur serta membolehkan kerajaan menguruskan hal ehwal rakyat Malaysia terutamanya yang berada di luar negara dengan lebih berkesan.
Ketiga ialah had pemberian kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang bagi kelahiran luar negara kepada satu generasi. Pindaan ini juga penting dan sewajarnya diterima untuk memastikan keterikatan generasi seterusnya dengan negara bagi membuktikan ketaatan dan setia pada negara asalnya. Ia juga tidak sepatutnya mendatangkan sebarang masalah kerana selaras dengan dasar yang diguna pakai di negara-negara lain seperti United Kingdom (UK), New Zealand dan Kanada.
Keempat, tiada lagi pemberian kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang kepada anak Pemastautin Tetap. Pindaan ini juga penting dan tidak sepatutnya dipertikaikan kerana pemberian kewarganegaraan secara ini dilihat dapat menimbulkan pelbagai isu dan implikasi terhadap aspek sosial ekonomi di Malaysia serta menggalakkan pemilikan dwikerakyatan lanjutan ibu bapa yang merupakan Pemastautin Tetap masih boleh memperoleh kewarganegaraan asing sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh manakah nilai kesetiaan mereka kepada raja dan negara yang merupakan tunjang kedua Rukun Negara.
Kelima ialah perlucutan kewarganegaraan perempuan yang menjadi warganegara melalui pendaftaran secara marriage of convenience. Pindaan ini adalah bagi memastikan kerajaan boleh melucutkan kewarganegaraan wanita warga asing yang menjadi warganegara Malaysia selepas dua tahun mulai dari tarikh dianugerahkan kewarganegaraan kerana pembubaran perkahwinan sejurus wanita berkenaan dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia. Ia menggambarkan seolah-olah perkahwinan tersebut hanyalah marriage of convenience untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
Pindaan ini juga tidak sepatutnya dipersoalkan kerana ia hanyalah kesinambungan peruntukan sedia ada yang bertujuan membendung amalan penyalahgunaan pemberian taraf kewarganegaraan daripada berleluasa dan juga untuk memastikan keutuhan dan kesucian institusi perkahwinan terpelihara.
Yang keenam pula ialah pengwajiban syarat asas kemahiran bahasa Melayu bagi kewarganegaraan isteri kepada warganegara. Pindaan ini juga penting bagi memastikan individu yang akan dianugerahkan kewarganegaraan mempunyai asas bahasa Melayu yang merupakan salah satu identiti, lambang jati diri masyarakat Malaysia serta satu alat perpaduan selaras dengan kedudukan dan taraf bahasa Melayu seperti yang termaktub di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Pindaan ini juga sepatutnya diterima oleh semua pihak kerana elemen ujian bahasa juga digunapakai dalam dasar permohonan kewarganegaraan di negara-negara lain seperti UK, Itali, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat (AS), Australia dan Greece.
Ketujuh ialah penurunan had umur bagi tujuan perolehan dan penamatan kewarganegaraan daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Pindaan ini juga tidak sepatutnya mendatangkan sebarang masalah kerana ia selaras dengan fakta bahawa individu yang berumur 18 tahun dan ke atas bukan lagi dikategorikan sebagai kanak-kanak menurut subseksyen 2(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), Akta Umur Dewasa 1971 (Akta 21) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC). Perkara yang sama juga diamalkan oleh negara-negara lain seperti UK, AS, Kanada, Jerman, Australia, Perancis, India, Pakistan, New Zealand dan Jepun.
Dan kelapan mengenai peralihan kuatkuasa undang-undang kepada pendaftaran bagi kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan kanak-kanak baharu lahir yang dijumpai. Ia penting supaya kerajaan dapat menyiasat lebih lanjut identiti pemohon serta memastikan bahawa penggunaan kedua-dua peruntukan ini adalah bagi yang benar-benar layak dan menepati kriteria.
Ini wajar mengambilkira pergerakan rentas negara yang semakin mudah, kemasukan imigran, pelarian suaka, kebanjiran pekerja asing secara sah dan tidak sah sekarang serta adanya tindakan golongan tertentu seperti sindiket yang mengambil kesempatan memperdagangkan manusia termasuk bayi dan kanak-kanak.
PENTING
Pindaan kelapan ini juga penting kerana pelucutan kewarganegaraan di bawah kaedah kuatkuasa undang-undang setelah ia diberi dengan cara fraud, representasi palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material atau dengan silap tidak boleh dibuat kerana Perkara 26(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai untuk mereka yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau melalui penaturalisasian sahaja. Pindaan ini juga tidak sepatutnya dijadikan isu oleh mana-mana pihak kerana kajian perbandingan yang dibuat dengan negara-negara lain seperti UK dan Singapura dalam peruntukan mengenai rakyat tanpa warganegera menunjukkan bahawa kuasa untuk menentukan kewarganegaraan bagi golongan ini juga merupakan kuasa kerajaan negara-negara tersebut.
Setelah diteliti kesemua butiran Pindaan Perlembagaan ini jelaslah tiada mana-mana aspek di dalamnya yang mempunyai asas kuat untuk dipertikaikan malah kesemuanya adalah untuk kebaikan rakyat dan negara serta selaras dengan amalan antarabangsa.
Selaras dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu ke atasnya maka wajarlah ia mendapat sokongan semua pihak.-UTUSAN
DR. Kamarul Zaman Yusoff adalah Ketua Unit Penyelidikan Institut Analisis Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).










