LONDON: Ketua jurulatih skuad England, Gareth Southgate memberi amaran kepada Marcus Rashford dan Jack Grealish bahawa mereka perlu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam skuad negara itu ke Kejohanan Euro 2024 di Jerman.
Kedua-dua pemain itu berdepan musim yang sukar bersama kelab masing-masing, malah Southgate turut memberitahu dia akan menyenaraikan pemain tengah Liverpool, Curtis Jones ke dalam skuad jika tonggak itu tidak berdepan dengan kecederaan.
Amaran Southgate itu bermakna, kedua-dua pemain terbabit berisiko akan tercicir daripada skuad kebangsaan England ke kejohanan tersebut.
Rashford yang disenaraikan dalam perlawanan persahabatan menentang Brazil dan Belgium dikritik ekoran persembahan di bawah aksi sebenar, hanya mencatat tujuh gol Liga Perdana musim ini.
Dia juga terlibat masalah disiplin apabila tidak hadir dalam latihan Manchester United selepas menghadiri satu majlis sosial di Belfast.
Grealish juga gagal mencapai prestasi dan sering tersisih daripada kesebelasan Manchester City berikutan kedatangan Jeremy Doku.
Southgate yang menamakan penyerang Newcastle, Anthony Gordon, Khamis lalu dan berdepan isu serius pada jentera serangan England berkata:”Dia (Rashford) perlu bersaing dengan Gordon, Cole Palmer dan Phil Foden. Jadi kami ada pilihan pemain untuk mengisi tempat tersebut.
“Apa yang berlaku antara pemain dengan kelab adalah masalah mereka kerana mereka tahu yang sebenarnya. Kami pantau semuanya. Saya tidak kata sikap buruk di atas padang tidak wajar diambil kira. Mereka tidak begitu.
“Perkara penting di sini ialah kami fokus kepada persembahan di atas padang. Dia perlu berdepan saingan. Begitu juga Jack. Mereka ini bermain baik. Gordon Jarrod Bowen semuanya berupaya menjaringkan gol.
“Mereka bekerja kuat, pertahanan yang bagus. Semuanya lengkap dan kami mempunyai banyak pilihan. Saya boleh jamin tempat sesiapa sahaja (dalam skuad). Kami perlu mempunyai persekitaran memilih pemain hebat untuk berada dalam skuad ini.
“Kami tahu Marcus mampu pergi jauh, namun hakikatnya semua pemain perlu memberi persembahan terbaik pada masa sekarang.” – AGENSI/UTUSAN










