Piala Dunia pentas pemanah buru tiket Olimpik 

Piala Dunia pentas pemanah buru tiket Olimpik 

MOHD MARBAWI SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad memanah kebangsaan, Mohd Marbawi Sulaiman tidak meletakkan harapan tinggi menjelang Siri Piala Dunia Memanah di tiga negara yang menjadi medan penting buat atlet memanah memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata, siri itu merupakan kejohanan antarabangsa pertama buat kem memanah negara pada tahun ini dan kem memanah negara tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku kelak semasa kejuaraan dunia itu berlangsung.

“Masih terlalu awal. Ini merupakan kejohanan antarabangsa pertama buat kami. Kami tidak tahu saingan bagaimana.

“Kita juga tidak boleh menjangkakan mereka beraksi baik atau tidak kerana ini. April ini di Shanghai kami akan analisis kesemua saingan. Kami mempunyai tiga slot untuk merebut tempat di Paris. 

Kem memanah negara bakal menghadapi cabaran getir dalam melayakkan diri ke temasya itu menerusi tiga siri kejohanan dunia di China (23 April), Korea Selatan (21 Mei) dan Turkiye (18 Jun) sebagai tiket terakhir mereka.

Sementara itu, Marbawi mengakui bulan Ramadan dan kejuaraan dunia yang semakin hampir memberi cabaran besar buat anak-anak buahnya dalam mempersiapkan latihan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata itu tidak mematahkan semangat atlet memanah negara kerana mereka masih menjalani latihan seperti biasa.

“Saya akui bulan puasa ini sedikit memberi cabaran dalam mempersiapkan atlet. Latihan mereka tetap berjalan pada sesi pagi dan juga petang.

“Sesi latihan malam juga ada dijalankan di hari tertentu. Menjelang Hari Raya Aidilfitri, saya tetap beri pelepasan kepada mereka untuk menyambut tetapi bukan dalam tempoh masa yang lama,” katanya.

Setakat ini, hanya Ariana Nur Dania Mohamad Zairi yang telah pun mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas dia meraih pingat emas pada Kejohanan Kelayakan Asia di Bangkok, Thailand, November lalu.

Bagi skuad lelaki, peluang terbuka kepada yang berada dalam program Podium iaitu, Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli, Syafiq Busthamin dan Muhammad Danish Amsyar Norazlan

Pasukan wanita diwakili oleh Ariana serta menerusi Nurul Azreena Mohamad Fazil, Syaqiera Mashayikh dan Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini dalam misi merebut ke temasya empat tahun sekali itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×