PETALING JAYA: Status Perlis United FC (PUFC) untuk beraksi di Liga Super musim 2024/2025 masih tergantung, sehingga kelab itu memenuhi empat syarat tambahan yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan, Perlis United masih belum menerima lesen kebangsaan, namun akan mendapatkannya jika berjaya memenuhi empat syarat tersebut.
Bagaimanapun, Stuart berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan empat syarat berkenaan buata masa ini dan hanya akan memberitahu perkara itu selepas PUFC berjaya memenuhinya.
“Daripada empat pasukan yang memohon, Perlis United dicadangkan oleh FIB sebagai pasukan yang layak mendapat lesen kebangsaan selepas meneliti semua dokumen yang dihantar oleh keempat-empat pasukan yang memohon lesen luar biasa.
“Namun buat masa sekarang Perlis United belum diberikan lesen kebangsaan kerana perlu menyelesaikan empat syarat tambahan yang ditetapkan terlebih dahulu,” katanya.
Turut mengemukakan permohonan kelab Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT bagi mengisi slot ke-14 selepas Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025.
Tambah Stuart daripada keempat-empat permohonan diterima FIB, Perlis United muncul pasukan yang terbaik selepas dokumen-dokumen diterima diteliti.
“Berdasarkan semakan dan penilaian teliti terhadap setiap permohonan yang dikemukakan, PUFC memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.
“PUFC turut telah mengemukakan salinan cek berjumlah RM5 juta daripada salah satu penaja tersebut sebagai bukti dana kewangan pasukan. Selain itu, kelab berkenaan juga menyerahkan surat sokongan daripada kerajaan negeri Perlis yang ditandatangani oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta surat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA),” jelasnya. – UTUSAN










