BUTTERWORTH : Permohonan Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) untuk menganggotai Barisan Nasional (BN) akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan datang.
Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika mengesahkan perkara itu berkata, permohonan tersebut juga akan dikemukakan kepada Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat berkenaan.
Katanya, ketika ini, pihaknya telah menerima permintaan rasmi daripada Presiden IPF, Datuk T. Loganathan bagi tujuan itu dan bersedia untuk membantu mereka.
“Walaupun mereka (IPF) bukan parti komponen sebelum ini, tetapi, mereka adalah ‘Friend of BN’. Mereka sangat aktif serta sentiasa bersama BN ketika pilihan raya. Mereka juga tetap setia bersama kami sehingga hari ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan IPF Pulau Pinang di sini, hari ini.
Terdahulu, Loganathan ketika berucap sempena majlis itu berkata, parti itu akan memulakan gerak kerja kepartian mereka di peringkat negeri Pulau Pinang sebelum beralih ke peringkat kebangsaan jika diterima menjadi sebahagian daripada anggota parti gabungan berkenaan selepas ini.
“Walaupun parti kami (berdepan) macam-macam onak, rintangan dan tentangan, tetapi, kami masih menyokong BN. Dulu, masa BN berkuasa sampai 2018 pun kami bersama BN. Selepas BN jatuh pun, kami masih dengan BN.
“Jadi, kami berharap agar permohonan untuk menjadi parti komponen BN dapat diberikan perhatian dengan Pulau Pinang akan menjadi titik permulaan sebelum usaha itu dibawa ke peringkat kebangsaan,” katanya.-UTUSAN











