PETALING JAYA: Keputusan memilih Perlis United untuk diberikan lesen kebangsaan sekali gus menjadi calon utama ke Liga Super musim ini, telah menimbulkan pelbagai kecaman daripada segelintir pihak terhadap Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Antara kecaman termasuk mendakwa wujud unsur pilih kasih dan ada juga melabel Liga M sebagai liga sarkas.
Malah, ada yang mempersoalkan kedudukan Perlis United susulan menamatkan saingan Liga M3 di kedudukan kelapan dan mengemukakan permohonan mendapatkan lesen selepas tempoh sebenar diberikan.
Permohonan lesen luar biasa yang dibuka badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu adalah terbuka kepada semua pasukan Liga M3 selepas kegagalan Kelantan FC mendapatkan lesen kebangsaan, sekali gus posisi pasukan ke-14 Liga Super kosong.
Justeru, bagi memastikan kemeriahan saingan Liga Super selain memastikan nilai Liga M tidak terjejas susulan kekurangan satu pasukan, langkah itu diambil dengan tawaran diberikan kepada pasukan Liga M3.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam tampil menjelaskan kenapa Perlis United menjadi pilihan First Instance Body (FIB) berbanding tiga pasukan teratas Liga M3 iaitu Imigresen FC, KL Rovers dan Harini FC.
Beliau berkata, permohonan lesen luar biasa dibuka kepada semua pasukan Liga M3 sambil mengakui Perlis United telah berhubung dengan MFL untuk memohon lanjutan tempoh bagi penyerahan dokumen.
“Kalau siapa-siapa nak buat dakwaan (pilih kasih ) itu boleh buat, tetapi FIB terpaksa mengambil keputusan yang terbaik untuk liga dan apa yang adil berdasarkan dokumen yang dihantar.
“Jika kita tak ambil serahan dokumen Perlis United, mungkin ketiga-tiga pasukan lain juga tak dapat lesen. Tidak bermakna kita mesti memenuhi lesen.
“Jadi, walaupun kita terima serahan dari Perlis United sedikit lambat dengan lanjutan tempoh serahan dokumen, tetapi serahan mereka adalah yang terbaik, lebih baik dibandingkan dengan yang lain (pasukan lain),” katanya. – UTUSAN










