AJARAN Islam bukanlah ajaran mudah dan senang dari segi penghayatan dan konsepnya. Membicarakan syurga dan neraka, bukanlah semudah yang diperkatakan. Baca doa dan zikir itu dan ini, membuat amal yang baik, meninggalkan kejahatan dan sebagainya tidaklah seharusnya diambil dengan mudah begitu sahaja.
Memang terdapat ajaran dan amalan soleh dijelaskan dengan banyak dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, seharusnya diamalkan untuk mendapat balasan yang baik dari Allah SWT tetapi balasan itu hanya diketahui oleh Allah sahaja, tanpa menekankan bahawa hanya dengan amalan mudah itu sahaja, kita seolah-olah memberikan jaminan bahawa orang itu telah cukup sempurna amalannya untuk mendapat balasan syurga atau neraka.
Malah dalam konteks manusia, maka kita hanya perlu menjelaskan dengan menyeluruh tentang amalan manusia di dunia ini sama ada soleh atau mungkar yang akan dibalas oleh Allah, tanpa kita membuat keputusan yang muktamad, sungguhpun harapan dan doanya demikianlah cita-citanya.
Sebagai contoh, hal ini sering ditekankan oleh umat Islam dalam pendidikan anak-anaknya. Amat sering sekali ibu atau bapa, malahan guru, menekankan tentang ibadat ketika memberikan ukuran sama ada seseorang itu baik atau sebaliknya.
Ibadah yang begitu kompleks itu berserta pula dengan perilaku dan perangai manusia, niat dan syarat-syaratnya yang banyak, sering dibicarakan secara mudah sahaja.
Memang kepada anak, juga orang dewasa, seharusnya diajarkan tentang doa makan, musafir dan sebagainya sebagai tuntutan agama. Maka bagi orang yang mahu menjadikan dirinya baik, lalu di anggap hanya dengan doa dan zikir itu sahaja, dia sebenarnya telah melengkapi syarat sebagai seorang muslim yang baik dan soleh. Dengan hanya dengan menguasai zikir dan doa tersebut, tanpa syarat dan hisab keseluruhannya tentang niat, hati, ikhlas atau tidak serta adab sopan, kewajipan terhadap orang lain dan sebagainya.
Sebenarnya perkara-perkara yang sunat dan harus seperti yang terkandung dalam Islam itu merupakan amalan yang baik untuk mendidik manusia menjadi sempurna, lengkap roh serta akalnya sebagai seorang yang beriman dan soleh, yang di balas dengan syurga.
Tetapi kesimpulan mudah inilah yang sering difahami dan dihayati oleh anak muda, ketika dia merasakan cukup baginya untuk menjadi seorang yang soleh, hanya dengan amalan doa dan perbuatan sunat itu.
Malah bagi anak-anak dan orang yang memahami Islam dalam keadaan yang mudah begitu, maka dia merasa yakin tentang kedudukannya sebagi seorang Muslim sejati, walaupun banyak nilai dan syarat-syarat keimanan lain yang seharusnya diketahui dan dihayati dalam kehidupannya.
Kalau seseorang yang membaca surah Al-Ma’un umpamanya, maka dia dapat memahami bahawa kecelakaan besar akan menimpa orang-orang yang bersembahyang, ialah mereka yang berkeadaan lalai dalam menyempurnakan sembahyangnya iaitu yang tidak memenuhi segala syarat dan rahsianya, yang melakukan sembahyang hanya untuk menunjuk-nunjuk, serta untuk mendapat kepujian orang dan pelbagai motif lain untuk kemegahan diri.
Hal ini menunjukkan betapa agungnya ibadat sembahyang dan rahsia amalan yang dihasilkan dari segi naluri dan hati nurani, jiwa raga dan akal budi, roh serta jasad. Ketika sembahyang dapat mendidik hati manusia menyedari kebesaran Allah, menjadi seorang yang amanah kepada Allah dan sesama manusia, berdisiplin dalam pengurusan dirinya, kebersihan, mengurus waktu, menumpukan perhatian kepada kebesaran Allah, malah menjadi makhluk yang menjadi contoh teladan kepada orang lain, berbicara dengan baik, melakukan segala sesuatu mengikut peraturan dan sebagainya.
Oleh itu segala ibadat dan kerja-kerja amal yang baik sering dirosakkan oleh penyelewengan dan kesalahan dalam perlakuan yang meranapkan akhlak dan adab seorang yang baik seperti yang diterangkan dalam surah Al-Mutaffifin bahawa kecelakaan besar disediakan untuk orang-orang yang curang, iaitu penipuan dalam sukatan dan timbangan. Apabila ia menimbang atau menyukat maka ia sering mencukupkannya untuk diri sendiri, tetapi sering menipu dengan mengurangkan sukatan dan timbangan untuk orang lain.
Dalam ayat lain, al-Quran menegaskan “Wahai orang yang beriman, mengapakah kamu berbicara dan bercakap apa-apa yang tidak kamu sendiri melaksanakannya? Dosanya amat besar di sisi Allah, kamu berkata-kata begi sesuatu yang tidak kamu kerjakan.”
Sistem yang lengkap inilah yang telah disempurnakan oleh Allah dalam menentukan pemerintahan dan pengurusan hidup di dunia ini untuk mencapai kesejahteraan di akhirat. Dan sistem inilah yang sempurna sebagai satu agama yang membawa makna sistem menyeluruh kehidupan atau ad-Din.
HOLISTIK
Oleh itu dalam memahami agama Islam, kita haruslah memahaminya dengan lengkap dan menyeluruh atau dalam erti kata holistik dan universal. Islam sememangnya terdiri dari tiga komponen iaitu akidah, syariah dan akhlak.
Akidah ialah sistem kepercayaan dan iman terhadap Allah SWT dan Rasul serta rukun iman yang enam. Syariah pula ialah pelaksanaan hukum dan sistem hidup secara menyeluruh, termasuk ibadat khusus dan umum, sedangkan akhlak ialah cara hidup dan perilaku, serta kaedah kehidupan sebagai manusia dalam hubungan dengan Allah, manusia dan alam keseluruhannya.
Mengintegrasikan ketiga komponen inilah sebenarnya nilai universal dan global Islam, yang sering dilupakan oleh sesetengah umat Islam sendiri, sebaliknya hanya penekanan tentang ibadat khusus dan isu-isu remeh temeh ketika membicarakan tentang Islam.
Malah yang amat menyedihkan, kejumudan pemikiran begini juga yang di bawa ketika membicarakan isu-isu kemasyarakatan yang lebih universal seperti politik, ekonomi, kehakiman, undang-undang dan isu-isu lain.
Sikap fanatik dan sering mengambil mudah dijadikan keutamaan penyelesaian masalah, sedangkan isu itu memerlukan rawatan dan pembaikan yang lebih matang dan global.-UTUSAN
TAN Sri Dr. Ismail Ibrahim ialah bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Duta Besar Malaysia di Arab Saudi.










