KETIKA berada di Arab Saudi, saya pernah cuba tanya penjual kurma di sana jikalau ada buah itu yang didatangkan dari Palestin namun reaksi peniaga tersebut tiba-tiba berubah.
Dia seperti bimbang kerana sangka saya ejen perisik kerajaan negara itu yang berlakon buat tinjauan kurma Palestin di pasaran dan mahu ‘korek’ maklumat siapa pengedarnya.
Senario spontan pekedai tersebut akhirnya difahami bahawa isu produk import dari Palestin termasuklah kurma amat sensitif dan jawapan mudahnya ialah ia tiada dijual di negara berkenaan.
Peniaga atau penduduk di sana bukanlah anti-Palestin tetapi rupa-rupanya bimbang sekiranya kurma yang kononnya dibawa dari negara itu sebenarnya ialah produk keluaran Israel yang ‘menyamar’ luarannya sebagai Palestin.
Fakta itu mungkin tampak lucu namun bagi yang pernah memasuki Palestin terutamanya menziarahi kota suci Baitulmaqdis akan menyedari kesemua barang Palestin diberi tag label buatan Israel.
Malah ia wajib ada kod bar dengan pangkal 729 yang merujuk produk negara haram Zionis itu termasuk dieksport ke seluruh dunia kerana Palestin dianggap Israel sebagai tidak wujud.
Begitulah malang nasib penduduk Palestin waima bagi umat Islam yang hendak menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa pun terpaksa melalui pos pemeriksaan ketat polis rejim Yahudi itu.
Ironi, di Malaysia lain pula ceritanya apabila baru-baru ini warganet tempatan khususnya beragama Islam yang perasan ‘terpaling’ Palestin mendakwa konon ada kurma dari Israel.
Maka kecohlah pengguna wadah media sosial tanah air dengan ramai berkongsi hantaran mengenai produk Zionis itu bebas dijual di pasaran kita hanya kerana mahu menjadi juara.
Ramai akhirnya termasuk perangkap halus Israel yang bijak memanipulasi sentimen umat Islam agar memboikot kurma Palestin dek sebab ada label ‘Product of Israel’ dan kod 729.
Fakta yang tidak diketahui mereka ialah Palestin memang tiada kod bar sendiri kerana ia bukan negara anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) berpusat di Switzerland.
Bahkan Palestin tidak menyertai pun badan kawal selia standard perundangan peruncitan global iaitu GS1 yang menetapkan kod khas unik tersebut dan berpangkalan di Belgium.
Inilah realiti pahit terpaksa ditelan Palestin tetapi malangnya pula produk kurma mereka yang dieksport ke Malaysia disalah faham sebagai Israel dan dirampas pihak berkuasa.
Berita berkenaan menjadi bahan jenaka warga Israel dan membuktikan kejayaan kempen propaganda jahat Yahudi mengelirukan minda Muslim sebagai berjaya tanpa bermasalah.
AMBIL TAHU
Saya tidak pasti apakah umat Islam di Malaysia begitu mudah dipermainkan Zionis dalam hal kecil sebegini hanya kerana sentimen boikot segala bisnes ada kaitan Israel itu.
Apakah mereka tidak sedar bahawa pihak Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan Islam (IHRC) yang berpusat di Britain pernah mengeluarkan kenyataan berhubung isu panas ini.
Badan bebas tanpa laba yang berstatuskan Konsultatif Khas dengan pihak Majlis Ekonomi dan Sosial di Pertubuhan Bangsa Bersatu itu, malah minta umat Islam agar tidak keliru.
Mereka juga mendedahkan taktik kotor oleh syarikat Israel yang terkesan dengan gerakan pulau produk negara Zionis itu menukar label pek kurma kononnya buatan Palestin pula.
Justeru, IHRC bimbang tindakan boikot tanpa ilmu itu boleh menjejaskan nasib petani kurma Palestin dan menggembirakan pihak Israel kerana strategi penipuan licik berjaya.
Cara ini bukan baharu bahkan sudah lama diamalkan pengilang bukan Islam di Malaysia sendiri yang bijak memakai jenama ada elemen Melayu untuk menarik pembeli Muslim.
Sudahlah label halal tiada dan jika ada pun boleh diragui, namun kaedah penyamaran itu berkesan dengan ramai terpedaya tanpa sedar kerana konon menyokong produk Islam.
Natijahnya, senario sekarang memang mencetuskan dilema kepada masyarakat Muslim yang tentunya tidak tahu apakah kurma di pasaran memang betul dari Israel atau Palestin.
Cukuplah sudah umat Islam belajar untuk tidak terjerumus dalam perangkap Yahudi yang pandai menipu orang dan memang hebat perangai penipu sejak zaman Nabi Musa lagi.
Bangsa jahat itu sebenarnya tidak boleh dipercayai langsung pun dan tengoklah di Gaza apabila mereka kerap kali menipu dunia dengan mengebom insan lemah tidak berdosa.
Bagi yang perasan konon mahu boikot Israel, cuba tanya diri sendiri, apakah produk tiada kaitan dengan rejim Zionis itu dalam kehidupan seharian. Tepuk dada tanyalah iman!-UTUSAN










