Wan Kuzain uruskan pasport untuk wakili Harimau Malaya

Wan Kuzain perlu uruskan pasport untuk wakili Harimau Malaya

Wan Kuzain Wan Kamal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain berdarah warisan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal perlu menyelesaikan urusan pasport sekiranya berhasrat untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada masa akan datang.

Sebelum ini, nama Wan Kuzain kembali dikaitkan bersama Harimau Malaya selepas dilihat mengikuti rapat segala perkembangan skuad kendalian Kim Pan Gon pada kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan pemain berusia 25 tahun itu ialah mendapatkan pasport Malaysia terlebih dahulu sebelum boleh dipanggil sertai pasukan.

Pada penghujungnya kata Azman, segala panggilan ke skuad kebangsaan terpulang kepada penilaian barisan kejurulatihan yang diketuai Pan Gon sama ada mahu atau tidak menyerapkan mana-mana pemain dalam kem latihan pusat nanti.

“Dia (Wan Kuzain) kena uruskan dahulu urusan pasport (jika berminat sertai Harimau Malaya). Akhir sekali, apa sahaja keputusan akan terletak di tangan Pan Gon jika mahu memilihnya,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Ketika ini, pemain yang pernah mewakili skuad Bawah 17 tahun (B-17) AS itu beraksi bersama pasukan St Louis City SC 2 selepas meninggalkan RGV FC Toros pada 2022.

Sebelum ini, Wan Kuzain pernah dipanggil menyertai kem pusat latihan Sukan SEA 2019 di Filipina, namun terpaksa digugurkan susulan masalah dokumentasi yang dihadapinya, dipercayai berkaitan urusan pasport.

Perkembangan terbaharu laman sesawang bola sepak terkemuka, Transfermarket mendakwa pemain berusia 25 tahun itu kini sudah memiliki kewarganegaraan Malaysia sekali gus berpeluang dipanggil barisan kejurulatihan skuad kebangsaan jika khidmatnya diperlukan.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga sudah menyatakan hasrat untuk memanggil pemain itu seperti yang dinyatakan abang kepada pemain itu yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal.

“Banyak komen biadap daripada ‘haters’ yang terpaling bola. FAM sudah pun berhubung dengan Wan Kuzain untuk sarung jersi Harimau Malaya,” katanya menerusi platform X baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×