APA sebenarnya makna mensejahterakan rakyat? Soalan ringkas dan mudah ini menuntut jawapan yang tepat dan melegakan rakyat. Penjurusannya lebih terarah kepada aspek sosial dan ekonomi selain tidak terkecuali kaitannya dengan soal politik.
Apa gunanya bermegah dengan pembinaan lebuh raya panjang melebar atau lapangan terbang moden bertaraf antarabangsa sedangkan rakyat mahu membeli nasi berlauk yang paling murah dan ubat sakit kepala di kedai runcit berdekatan pun tidak berupaya?
Apatah lagi dengan adanya kerangka perancangan negara yang hebat dan mampu menarik perhatian dunia tetapi tidak membawa impak sebenar bagi menepati aspirasi rakyat?
Apa yang diperlukan rakyat ialah kuasa beli yang stabil, harga barangan keperluan yang berpatutan serta bekalan sumber keperluan harian yang mencukupi, juga kadar cukai yang tidak membebankan.
Semua yang tercatat ini terhimpun dalam istilah yang sering disebut sebagai kos sara hidup. Hampir semua parti politik mencanangkan janji untuk meringankan kos sara hidup rakyat jika parti mereka diberi mandat oleh rakyat. Malah, perkara mengenai janji menangani kos sara hidup ini tercatat dalam semua manifesto parti-parti politik yang bertanding pada setiap kali pilihan raya diadakan, baik pilihan raya umum (PRU), mahupun pilihan raya negeri (PRN).
Saya tidak tujukan kepada mana-mana parti, kenyataan ini bersifat umum tetapi rungutan inilah yang acapkali sampai ke pendengaran. Rakyat menyatakan rungutan terhadap parti-parti yang mereka sandarkan harapan untuk membawa kesejahteraan.
Kata mereka, kalau tahu tak mampu kenapa berjanji? Juga kata mereka, nyatalah bercakap di luar gelanggang lebih mudah daripada menjadi kerajaan. Akhirnya harapan rakyat cuba ditutup dengan seribu alasan.
Apabila mandat diberi, rakyat mengharapkan apa saja yang baik dikekalkan, yang kurang ditambah, yang lemah diperbaiki dan yang tidak berguna dibuang. Contoh, mereka bukan mengharapkan pelbagai cukai dinaikkan, kadar bil air meningkat, jalan berlopak tanpa diturap, harga ayam melambung tinggi atau bekalan telur tidak stabil.
Betul, kos sara hidup bukan statik. Jika demikian, tolong jangan banyak berjanji jika sekadar untuk menyedapkan hati.
Syukur Malaysia masih berada dalam suasana makmur. Setidak-tidaknya akses kemudahan pendidikan dan pembelajaran serta pengurusan kesihatan rakyat berjalan lancar. Malah, sistem pengangkutan awam juga dianggap baik dan selesa. Suasana di kedai-kedai makan dan kafe sentiasa meriah.
PENCEN
Sehubungan itu, sekurang-kurangnya ada dua sudut diperkatakan umum apabila timbul isu pemansuhan Skim Pencen Perkhidmatan Awam yang dikaitkan dengan suasana makmur dan meriah ini.
Pertama, meriahnya kedai-kedai makan, kedai runcit, pasar-pasar keperluan barangan harian ‘hidup’ kerana banyak dibantu oleh golongan pesara yang menerima bayaran pencen bulanan. Sedikit sebanyak di tangan mereka ada ‘kuasa beli’. Jadi, kedua-dua pihak yakni pesara dan penjual sama-sama mendapat manfaat dari hasil skim pencen yang diamalkan sejak berdekad.
Kedua ialah soal moral iaitu keupayaan orang Melayu menikmati suasana kehidupan yang tidak terlalu perit dan terhimpit di bumi sendiri. Skim pencen persaraan memberi peluang kepada bekas penjawat awam memeriahkan kehidupan berbekal sekadar yang ada bagi meneruskan kelangsungan hidup sebelum tiba di ‘garisan penamat’.
Menyentuh mengenai wang ganjaran (graduity), menjadi lumrah bagi setiap pesara, wang itu terpaksa dibelanjakan untuk menyelesaikan saki-baki keperluan seperti membaiki rumah, kenderaan dan perkahwinan anak-anak. Mereka akhirnya mengharapkan bayaran pencen bulanan bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.
Bukan berniat menyokong atau terpengaruh dengan sentimen mana-mana pihak dan bukan juga menyimpan prejudis kepada kelompok tertentu, tetapi rumusan yang boleh diambil dari pandangan masyarakat, khususnya orang Melayu, bahawa Skim Pencen Persaraan Perkhidmatan Awam perlu dikekalkan, bukan dimansuhkan. Majoriti penjawat awam terdiri daripada orang Melayu. Situasi ini dikatakan turut menepati semangat Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan diminta tidak memberi alasan mudah dengan mengaitkan kedudukan fiskal kewangan negara dengan isu pencen. Menjadi tanggungjawab kerajaan meletakkan aspek mengekalkan skim yang dimaksudkan ini sebagai sebahagian daripada urusan pentadbiran negara.
Lagipun bertugas sebagai penjawat awam memerlukan mereka bekerja dan melaksanakan tanggungjawab mereka 24 jam sehari. Sepanjang perkhidmatan, mereka bersedia dipanggil bertugas pada bila-bila masa yang diperlukan. Kebanyakan mereka menghabiskan tempoh kerja lebih 30 tahun dalam perkhidmatan. Lagipun, setiap penjawat awam membuat caruman dalam dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Isu pencen tidak boleh dikaitkan dengan soal prestasi atau mutu kerja. Isunya berbeza, iaitu menyentuh antara kebajikan dan disiplin pekerja. Prestasi kerja boleh diikat dengan mutu disiplin atau hal-hal bersangkutan etika kerja. Peranan besarnya boleh dimainkan oleh ketua-ketua jabatan. Pandu arah kerja yang kemas, berstruktur dan bersistematik menjamin kelancaran tugas serta menghasilkan mutu kerja yang tinggi.
Kasihanilah kepada mereka yang bersusah payah menunda kereta untuk dihidupkan. Jangan biarkan mereka sekadar terpaksa ‘menghidu asap’, ditinggalkan begitu saja setelah kereta berjaya dihidup dilepas pergi. -UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK)











