Tahun terbaik TNB buru gelaran treble

Tahun terbaik TNB buru gelaran treble

TNB meraih dua kejuaraan, bermula Piala Sumbangsih pada awal musim dengan mengalahkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan terbaharu menamatkan penantian 21 tahun untuk bergelar juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024. - UTUSAN MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) berpotensi untuk menambah satu lagi trofi mereka bagi musim ini apabila bakal turun berentap dalam aksi suku akhir Piala TNB menentang Kuala Lumpur City esok.

TNB telah pun meraih dua kejuaraan, bermula dengan Piala Sumbangsih pada awal musim dengan mengalahkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan terbaru menamatkan penantian 21 tahun untuk bergelar juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.

Justeru kapten pasukan, Syed Syafiq Syed Cholan merasakan ini adalah tahun terbaik mereka untuk menyapu bersih semua piala dalam saingan hoki tempatan, sekali gus bergelar juara treble.  

“Tahun ini kita meletakkan sasaran yang tinggi, dan kita telah berjaya mencapai dua gelaran iaitu Piala Sumbangsih dan juara Liga, jadi kini kita mahu buru gelaran yang ketiga pula iaitu Piala TNB.

“Prestasi kami dalam liga amat memberangsangkan, dan kami menunjukkan peningkatan perlawanan demi perlawanan. Jadi kami mahu membawakan momentum ini ke saingan Piala TNB,” kata Syafiq kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai kejayaan TNB menjulang gelaran juara Liga musim ini, Syafiq mengakui ia detik yang cukup manis buat dirinya selepas 11 tahun menabur bakti untuk pasukan ini.

Tambahnya, salah satu kunci kejayaan pasukan ini adalah dengan kehadiran pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun.

Ironinya, Jong Hyun sebelum ini sering menjadi watak pemusnah buat TNB ketika beraksi untuk pasukan lawan, dan kemasukannya sebagai pemain import pertama TNB selepas beberapa musim telah membawa kesan yang positif kepada pasukan.

“Syukur akhirnya saya berjaya julang gelaran ini. Sebagai pemain hoki negara, inilah trofi tertinggi yang menjadi idaman setiap pemain.

“Dua tiga musim sebelum ini, Jong Hyun merupakan pemusnah harapan kami untuk bergelar juara, jadi tahun ini kami bawa dia menyertai TNB, dan kami berjaya menang. Jadi tidak keterlaluan saya sifatkan dia adalah pelengkap yang kami dambakan sebelum ini,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai TNB Global Business Solutions (TGBS), Datuk Ahmad Hushairi Ibrahim berkata, kejayaan merangkul Piala Liga TNB-MHL 2024 telah mengakhiri penantian selama 21 tahun yang mana kali terakhir TNB memenanginya pada 2003.

 “Ia adalah trofi kedua dimenangi TNB bagi musim ini, selepas merangkul Piala Sumbangsih pada 7 Februari. Syabas kepada ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang membimbing pasukan hoki TNB dan telah mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang aksi kejohanan liga.

 “Bagi pihak pengurusan TNB, saya berharap agar barisan pemain dapat mengekalkan prestasi yang cemerlang dan memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan yang bakal diharungi bagi menjuarai Piala TNB sekali gus mencapai aspirasi memenangi piala tiga berganda (treble) buat kali pertamanya,” katanya satu kenyatan di sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN