'Kalau ada arahan, saya tak keberatan letak jawatan'

‘Kalau ada arahan, saya tak keberatan letak jawatan’

MOHAMAD Hasan ditemui pemberita pada Program Bersama Warga Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kelab Tuanku, Mambau, Seremban hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan beliau bersedia untuk meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara diarahkan oleh Perdana Menteri.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu yang turut bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata, beliau tidak pernah mempunyai sebarang niat peribadi untuk menyerang mana-mana pemimpin dalam Kerajaan Persekutuan ketika musim berkempen.

“Kita tidak memburukkan apa-apa, dalam kempen hendak memastikan mesej sampai kepada semua pengundi. Tiada serangan peribadi tetapi jika ada arahan dari Perdana Menteri untuk saya letak jawatan, saya tiada keberatan untuk meletakkan jawatan.

“Terpulanglah pada Perdana Menteri kerana beliau yang melantik Menteri dan Timbalan Menteri,” katanya kepada pemberita di Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN di Taman Kelab Tuanku di Mambau, di sini hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan.

Anwar berkata, mana-mana pihak berkaitan yang melakukan perkara itu akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.

Perkara itu diputuskan selepas beliau menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, semalam.

Terdahulu Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa semua menteri dan timbalan menteri dari BN untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan perkembangan politik terkini yang menyaksikan BN secara terbuka mengadakan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan.

Mohamad dalam pada itu berkata, beliau tidak berkecil hati mahupun terguris dengan kenyataan berkenaan kerana ia dianggap sebagai satu kelaziman ketika musim kempen pilihan raya.

“Tetapi masing-masing janganlah meloncat-loncat. Biasalah kempen ketika pilihan raya, itu tidak bermakna kita hendak bermusuh secara peribadi, tidak.

“Saya minta supaya rakyat faham dan mereka memberikan sokongan kepada BN. Jadi, kita pujuklah mereka (pengundi) dan pastikan mereka tidak termakan fitnah lagi sebab masa 2018, BN kalah sebab fitnah melampau,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN