Peneroka haram Yahudi cuba bakar masjid di Tebing Barat - Utusan Malaysia

Peneroka haram Yahudi cuba bakar masjid di Tebing Barat

SEBUAH masjid cuba dibakar peneroka haram Yahudi di Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH:  Peneroka haram Yahudi membakar sebuah masjid di sebuah kampung di Tebing Barat yang diduduki dalam kejadian pada waktu malam, menurut seorang pegawai Palestin pada Ahad.

Ia berlaku ketika seorang wartawan AFP melihat pintu masuk masjid itu hangus terbakar dan dindingnya diconteng dengan grafiti dalam bahasa Ibrani.

Kejadian itu berlaku ketika serangan oleh peneroka haram Yahudi terhadap komuniti Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel semakin meningkat sejak tercetusnya perang Gaza pada 2023.

Lebih dua belas peneroka haram Yahudi, sebahagiannya bertopeng, menyerang Masjid Al-Taqwa di kampung Al-Tuwani pada waktu malam sebelum membakarnya, kata ketua majlis kampung, Mohammed Rabie, kepada AFP.

Menurutnya, peneroka haram Yahudi turut membakar dua buah rumah dan sebuah kilang tenusu, selain menyembur grafiti dalam bahasa Ibrani pada dinding masjid.

Rabie berkata, peneroka haram Yahudi melarikan diri selepas penduduk kampung keluar dari rumah masing-masing dan menambah bahawa sukarelawan tempatan berjaya memadamkan kebakaran sebelum api merebak.

Gambar AFP menunjukkan seorang kanak-kanak dan seorang lelaki warga emas memeriksa pintu masuk serta tingkap masjid yang hangus terbakar, manakala sebahagian karpet solat di dalamnya turut musnah dijilat api.

Rabie berkata, kilang tenusu yang dikendalikan oleh wanita daripada komuniti Masafer Yatta mengalami kerosakan yang teruk.

“Kami bersyukur kerana serangan ini tidak bertukar menjadi tragedi yang mengorbankan nyawa,” katanya.

Israel telah menduduki Tebing Barat sejak 1967. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN