INCHEON: Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) sah melantik jurulatih skuad Olimpik Korea Selatan, Hwang Sun Hong sebagai pengendali sementara skuad senior negara itu.
Keputusan berkenaan diumumkan badan induk bola sepak Korea Selatan itu menerusi satu sidang akhbar yang diadakan semalam bagi mengumumkan pengendali baharu Taeguk Warriors.
Pengumuman berkenaan juga sekaligus menamatkan desas-desus siapa bakal mengendalikan skuad gergasi Asia itu untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada Mac ini.
Selain Sun Hong, KFA turut mempertimbang dua lagi calon lain untuk jawatan itu iaitu bekas jurulatih Vietnam, Park Hang Seo dan bekas pengendali Gangwon, Choi Yong Soo.
Sebelum pengumuman tersebut dibuat, ramai peminat bola sepak Korea Selatan melihat Hang Seo sebagai pilihan utama disebabkan pencapaian cemerlangnya bersama Vietnam.
“KFA melantik jurulatih skuad Olimpik, Hwang Sun Hong sebagai jurulatih sementara untuk mengetuai pasukan bola sepak kebangsaan Korea Selatan dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Thailand pada Mac,” kata KFA dalam satu kenyataan.
Badan induk bola sepak Korea Selatan itu turut memaklumkan seorang jurulatih baru bakal dilantik menggantikan Jurgen Klinsmann selewat-lewatnya pada awal Mei ini.
“Selain itu, kami bercadang untuk melantik jurulatih rasmi selewat-lewatnya awal Mei bagi mempersiapkan diri menghadapi pusingan kelayakan kedua Piala Dunia pada bulan Jun,” tambah KFA.
Selepas Klinsmann disingkirkan sebagai jurulatih Taeguk Warriors baru-baru ini, ramai jurulatih asing menyatakan minat untuk mengisi kerusi panas berkenaan termasuk Steve Bruce, Phillip Cocu, Senol Gunes dan Fabio Cannavaro.
Sun Hong, 55, mengemudi pasukan bawah 23 tahun untuk meraih emas di Sukan Asia Hangzhou 2022, dan juga ahli skuad Piala Dunia 2002 yang mara ke separuh akhir di laman sendiri di bawah bimbingan jurulatih Belanda, Guus Hiddink.
Sun Hong akan memegang dua tugas sebagai jurulatih pasukan kebangsaan dan turut menyediakan skuad bawah 23 tahun ke Piala Asia bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, bermula April ini di Qatar. – AGENSI/UTUSAN









