Muktamar: Rundingan kerusi jadi ujian penyatuan ummah 

Muktamar: Rundingan kerusi jadi ujian penyatuan ummah 

TUAN IBRAHIM TUAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Keputusan Pas memperkukuh agenda penyatuan ummah berdepan ujian sebenar apabila tiba masa rundingan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketika itu semua anggota parti perlu mendukung keputusan yang telah dibuat secara sebulat suara dengan berpegang kepada wala’, thiqah dan ketaatan kepada kepemimpinan.

Katanya, penyatuan ummah tidak boleh hanya diterjemahmelalui kelulusan usul dalam muktamar, sebaliknya mesti dibuktikan dengan kepatuhan terhadap keputusan parti.

“Saya nak ingatkan kita bersama, bahawa keputusan kita mendukung sebulat suara itu akan diuji oleh Allah SWT kelak.

“Biasanya perundingan kerusi jadi masalah untuk mengukuhkan kerjasama kita. Waktu itu kita semua akan dituntut supaya keputusan yang kita buat hari ini mesti didukung oleh wala’ dan thiqah, taat kepada kepemimpinan,” katanya semasa penggulungan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, keputusan muktamar meluluskan secara sebulat suara pengukuhan penyatuan ummah, termasuk kerjasama antara Pas dengan UMNO perlu diterjemah melalui tindakan dan keputusan yang selari dengan ketetapan parti.

Katanya, Jawatankuasa Penyatuan Ummah yang diwujudkan parti itu perlu menjadi ejen untuk menggerakkan agenda berkenaan manakala Jawatankuasa Perundingan Kerusi pula mempunyai tanggungjawab melihat pembahagian kerusi secara menyeluruh.

“Pas akan terus berpegang kepada prinsip kerusi yang dimenangi kekal kepada parti yang menang selain mempertahan kerusi yang telah dimenanginya.

“Kerjasama politik memerlukan toleransi dan tolak ansur bagi mengimbangi kekuatan parti termasuk dalam pembahagian kerusi yang belum dimenangi,” ujarnya.

Muktamar Pas Kali Ke-72 hari ini sebulat suara meluluskan usul penyatuan ummah bagi menghadapi PRU16 sekali gus memberi isyarat jelas parti itu mahu memperkukuh kerjasama politik berteraskan kepentingan Me­layu dan Islam. 

Usul dibawa wakil Dewan Ulama Pas, Zulqarnain Hassan itu diterima selepas dibahas dan disokong perwakilan Pas Pahang. Nasaruddin Hassan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×