Melaka mahu jadi negeri pertama tawar gaji pokok RM2,500

Melaka mahu jadi negeri pertama tawar gaji pokok RM2,500

AB. RAUF Yusoh bersama anak-anak muda sempena Program Townhall Anak Muda sempena Karnival Anak Muda di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Pusat bagi menjadikan Melaka sebagai negeri pertama yang menetapkan gaji asas RM2,500.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, cadangan berkenaan akan dikaji dan dinilai dari pelbagai sudut sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Pusat untuk pertimbangan.

Menurut beliau, langkah itu antara usaha kerajaan negeri memastikan golongan muda mempunyai hala tuju serta peluang lebih baik untuk membina masa depan di negeri ini.

“Kita akan cuba melihat daripada segala sudut dan penilaian ini akan dibuat. Kita akan memberikan cadangan ini kepada Kerajaan Pusat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Townhall Anak Muda sempena Karnival Anak Muda di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap golongan wanita khususnya ibu muda yang berdepan masalah kehidupan, termasuk isu rumah tangga sehingga menjejaskan peluang mereka untuk meneruskan kerjaya.

Katanya, kerajaan negeri sedang meneliti pendekatan yang boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan supaya mereka dapat kembali membina kehidupan dan masa depan yang lebih baik.

“Kita tidak sepatutnya mempunyai generation gap (jurang generasi) dan gender problem (masalah gender) di Melaka. Semua diberikan ruang yang sama berdasarkan kemahiran dan keupayaan yang ada pada diri mereka sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang memikirkan satu kaedah seperti yang berlaku di Tanjung Pelepas yang memberikan ruang kepada semua ibu muda yang hilang masa depan untuk bekerja di situ.

Beliau berkata, antara lokasi yang sedang dilihat bagi menyediakan peluang pekerjaan berkenaan ialah Melaka Inland Port (MIP).

Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan golongan ibu muda yang terpaksa meninggalkan pekerjaan atas faktor tertentu tidak terus tercicir daripada arus pembangunan dan pasaran pekerjaan.
Sementara itu, Ab. Rauf berkata, penganjuran Karnival Anak Muda merupakan antara platform disediakan kerajaan negeri bagi memberikan ruang dan peluang kepada golongan berkenaan meneroka pelbagai peluang untuk masa depan mereka.

“Kita kumpulkan anak muda dalam satu sesi Townhall untuk melihat hala tuju masa depan mereka sebagaimana yang didasari oleh Kerajaan Negeri.

“Saya melihat anak-anak muda ini mesti dipandu dan diberikan arah tuju supaya mereka tidak lagi melihat bahawa masa depan mereka di Melaka ini tiada ruang yang boleh memberikan mereka harapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×