Saiful bimbang prestasi yo-yo TNB

Saiful bimbang prestasi yo-yo TNB

PEMAIN Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya melepasi halangan dua pemain Terengganu Hockey Team dalam aksi Piala Sumbangsih, kelmarin. TNB menang menerusi penalti shoot out 3-1.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini tidak berpuas hati dengan prestasi keseluruhan anak buahnya biarpun mereka berjaya menjulang Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 kelmarin.

TNB menewaskan penyandang juara, Terengganu Hockey Team menerusi penentuan penalti shoot out 3-1, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sepanjang 60 minit perlawanan.

Biarpun berjaya menjulang trofi pertama pada musim ini, Saiful tidak berselindung apabila kecewa dengan prestasi beberapa tonggak utama yang beraksi di bawah tahap sebenar.

Hakikatnya, biarpun Piala Sumbangsih menjadi milik mereka, TNB terpaksa berpuas hati meraih satu mata sahaja memandangkan keputusan perlawanan kelmarin tetap dikira untuk liga.

Ini meletakkan TNB berada di tangga ketiga dengan lima mata selepas tiga perlawanan, di belakang pendahulu, Nurinsafi Sporting dan pasukan adik, TNB Thunderbolts.

“Kita lihat beberapa perlawanan yang telah kita bermain sebelum ini, beberapa pemain yang diharapkan masih belum mencapai prestasi yang terbaik.

“Untuk kehadapan, kita kena meningkatkan prestasi kita, kerana saya lihat permainan mereka terlalu perlahan, termasuklah pemain-pemain kebangsaan yang berada dalam pasukan ini, dan saya pun tidak pasti apakah puncanya,” jelas Saiful kepada Utusan Malaysia.

Jika ini berterusan, Saiful khuatir ia akan menjejaskan sasaran pasukan untuk mraih gelaran trebel musim ini.

TNB bakal meneruskan kempen liga mereka pada malam ini menentang pasukan Yong-Elephants Pahang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN