KARYA Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, Abdullah Abdul Kadir (Munshi Abdullah) seperti Hikayat Abdullah (1849) memberi kita peluang mengenali budaya, suasana dan fakta sejarah orang Melayu dan British pada era itu.
British yang menjajah India, Malaya dan pelbagai negara lain memang ada budaya menulis serta mendokumentasi pelbagai perkara dalam bentuk jurnal dan buku. Hasil tulisan ini memanglah boleh dipertikai kerana sering dikatakan berpihak kepada pihak penjajah.
Namun begitu, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah catatan penjajah British, khasnya individu yang pernah menjadi pegawai penting di Malaya (Tanah Melayu), menjadi dokumentasi penting untuk kita mengetahui sejarah dan situasi di tanah pertiwi pada masa silam.
Salah sebuah buku yang saya baca baru-baru ini ialah Perak and the Malays (1878) tulisan John Frederick Adolphus McNair (1828-1910). Dia meninggalkan England pada usia 17 tahun untuk bekerja di Syarikat Hindia Timur, Madras, India. Pada 1953, dia menjadi pegawai di negeri-negeri Selat.
Malah, McNair terlibat dalam usaha mengembalikan keamanan di daerah Larut, Perak selepas Perjanjian Pangkor (1874). Dia juga dilantik mengetuai suruhanjaya susulan pembunuhan J.W.W. Birch, Residen British pertama di Perak.
Apa-apa yang dirakam dalam buku itu adalah hasil pemerhatian dan pergaulan McNair secara langsung dengan penduduk tempatan selama lebih dua dekad memegang pelbagai jawatan di sini.
Sebagai individu yang berasal dari Taiping, Perak, buku ini membantu saya mengenali dan memahami pelbagai budaya, sejarah dan kisah silam. Perlu diakui gaya dokumentasi McNair amat terperinci dan penuh maklumat.
Digambarkan bahawa secara tradisi, orang Melayu tinggal di tepi sungai dan laut. Pengangkutan sampan dan bot sangat penting, manakala denai muncul apabila gajah digunakan untuk mengangkut bijih timah ke pasar.
Selain huraian tentang pelbagai galian, binatang, tumbuhan, buah-buahan, burung, serangga dan hidupan laut, pengarang turut menghuraikan pemerhatian tentang orang Melayu di negeri Perak.
Dihuraikan tentang orang Batta Barak (Batak), Rawa (Rao), Mandeling (Mandailing), Korinchi (Kerinci), Bugis dan Melayu. Ditegaskan hakikat orang Melayu dan Bugis dua kelompok berbeza yang berasal dari tempat berlainan serta memiliki bahasa berbeza. Malah, penduduk Melayu di Perak sangat menggeruni dan menghormati orang Bugis.
Hasil pemerhatian dan maklumat dikumpul McNair disimpulkan orang Bugis paling akhir memeluk ajaran Islam tetapi paling kuat berpegang pada agama itu.
Pada masa sama, mereka pendendam dan pasti membalas dendam ke atas sesiapa yang menganiaya mereka.
Orang Kerinci pula menganggap mereka lebih kuat pegangan agama berbanding orang Melayu. Mereka juga selalu mengenakan pakaian serba putih.
Orang Kerinci dilaporkan lebih rajin daripada orang Melayu serta membantu pihak British meneroka hutan dan membina jalan raya. Akan tetapi, orang Kerinci tidak sesekali mahu dilayan sebagai kuli.
Sama seperti orang Kerinci, komuniti Rawa, Batak dan Mandailing juga berhijrah ke Perak dari Sumatera. Agak menarik apabila orang Melayu dikatakan berasal dari daerah Menang Kabau (Minangkabau) di Sumatera. Dalam buku itu juga disebut juga golongan bangsawan biasanya ada campuran darah Arab atau India.
Dari segi pakaian, lelaki Melayu pada era itu memakai sarung hingga paras lutut. Wanita Melayu pula memakai sarung yang menutup dari paras dada hingga buku lali. Satu lagi sarung dipakai seperti tudung dan turut menutup bahagian bahu.
Kain sarung ini biasanya dibeli dari Tringanu (Terengganu) dan Johor. Ada juga sarung dibawa dari Jawa, Sumatera dan Borneo. Sarung istimewa menggabungkan kapas dan sutera dari China. Orang kebanyakan memakai sarung kain kapas.
Orang Bugis pula ada pakaian tersendiri yang dibanggakan. Lelaki biasanya memakai seluar daripada kain belacu dan di atasnya baru dipakai sarung. Mereka juga memakai baju berlengan panjang.
Ketayap yang dikenakan orang Melayu mendapat pengaruh daripada orang India. Bagaimanapun, orang India dikatakan memilih ketayap pelbagai warna manakala orang Melayu memilih warna hitam dan putih sahaja.
Satu lagi pemerhatian menarik didokumentasi McNair ialah amalan lelaki Melayu kaya menyimpan kuku panjang yang dijaga rapi. Budaya ini bertujuan menunjukkan status dalam masyarakat iaitu orang kaya tidak perlu bekerja keras seperti orang kebanyakan.
Amalan menyapu serbuk kunyit pada muka dan memakai celak dalam kalangan wanita Melayu dipengaruhi budaya India. Proses Indianisasi seperti ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana hubungan antara Tanah Melayu dan India sudah wujud seawal kurun pertama.
Nama beberapa penempatan penting orang Melayu juga disebut. Antara yang terkenal ialah Thai-peng (Taiping) dan Kamunting sebagai pusat perlombongan bijih timah serta Bukit Gantang sebagai tempat tinggal rasmi ‘Muntri of Perak’ (Orang Kaya Menteri).
Tempat-tempat lain yang dinyatakan ialah “Chigagala, Kotah Lamah, Korinchi, Saiyong, Boyah, Sengang, Blanja, Campong Syang, Botah, Pulo Tiga, Passir Sala, Kotah Lumat, Durian Sabatang, Batu Rabit dan Kotastia” di sepanjang Sungai Perak. Qualla Kungsa (Kuala Kangsar) pula menjadi pusat ketenteraan bagi British.
Ciri-ciri rumah orang Melayu juga diperincikan dalam buku ini. Apabila membacanya, kita dapat membayangkan rupa rumah Melayu pada zaman berkenaan – daripada tiang, dinding, atap, tingkap, pintu hingga tangga yang dibina dengan mengambil kira pelbagai aspek keselamatan dan kesesuaian tempat tinggal.
Dalam buku sejarah kini, kita sering membaca bagaimana kuli keturunan Cina menghisap opium (candu). Rupa-rupanya, pada masa dahulu, golongan bangsawan Melayu menganggap tabiat menghisap candu sebagai simbol status tinggi dalam masyarakat.
Amalan menyimpan dan memperdagangkan hamba abdi dalam kalangan orang Melayu di Perak turut didokumentasi dalam buku ini yang wajar dibaca untuk memahami hakikat kehidupan masyarakat pada masa silam.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










