Perlis United penuhi syarat, tunggu keputusan MFL

Perlis United penuhi syarat, tunggu keputusan MFL

PASUKAN Perlis perlu menunggu kelulusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk beraksi dalam Liga Super musim 2024/25.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selepas 13 tahun hilang dalam radar bola sepak utama negara, Perlis yang diwakili Perlis United FC (PUFC) sedang menunggu keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk kembali beraksi dalam Liga Super selepas mendakwa telah memenuhi syarat ditetapkan.

Perlis United yakin diberi peluang berkenaan atas kuota negeri bagi mengisi slot 14 pasukan bersaing dalam kancah liga utama negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan berkenaan yang berusaha mendapatkan tajaan.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menyokong PUFC dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) di samping turut bersedia membantu khususnya dalam aspek fasiliti termasuk penggunaan Stadium Tuanku Syed Putra di sini.

“Tahniah pada PFA dan PUFC kerana dengan perkembangan penajaan ini, ia menunjukkan sifat mandiri mereka untuk terus melonjakkan pasukan bola sepak negeri ini,” katanya.

Wan Zikri berkata, kerajaan negeri memang mengharapkan yang terbaik kerana Perlis sudah lama tidak merasa suasana meriah dalam sukan bola sepak seperti suatu masa dulu.

“Ini bukan soal pasukan mana paling hebat atau kaya, tapi ia adalah satu perjuangan dalam membawa nama negeri ini,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga tiada masalah bagi membincangkan secara lanjut berkaitan pengurusan pasukan khususnya membabitkan fasiliti perlawanan dan latihan.

“Stadium Tuanku Syed Putra yang sedang menjalani proses ubah suai dijangka siap pada April ini dan boleh digunakan sebagai venue perlawanan nanti. Saya difahamkan kerajaan negeri juga ada menerima geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai bantuan bagi penambahbaikan padang dan sistem saliran di stadium berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden PFA, Zamri Ibrahim mengesahkan terdapat pihak bersetuju menaja Perlis United sekiranya pasukan itu layak bersaing dalam Liga Super musim ini dan memenuhi syarat ditetapkan MFL.

Beliau difahamkan Perlis United telah memenuhi syarat ditetapkan itu dan sedang menunggu keputusan MFL memandangkan terdapat beberapa pasukan lain turut sama berusaha merebut slot dalam liga berkenaan.

“MFL sebelum ini meminta Perlis United mengemukakan bukti penajaan dan berdasarkan perkembangan terkini, saya dimaklumkan syarat ditetapkan itu sudah lengkap cuma kita sedang menunggu keputusannya berikutan terdapat beberapa pasukan lain memohon slot sama,” katanya.

Sebagai rekod, lewat 1990-an sehingga 2010, Perlis bukanlah nama asing dalam arena bola sepak negara dengan Singa Utara ketika itu cukup digeruni dan disegani pasukan lawan selain pernah dianggap giant killer yang memusnahkan pasukan-pasukan besar di Malaysia.

Dalam era kegemilangan tersebut, Perlis juga merasai nikmat menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta Liga Super 2005 selain menjadi pencabar utama kepada pasukan-pasukan hebat lain di negara ini.

Malah, dari 2004 hingga 2008 khususnya, Perlis sering kali berada di pentas akhir saingan dengan antaranya merangkul kejuaraan dua kali Piala Malaysia selain membawa pulang Piala Sumbangsih yang juga dimenangi sebanyak dua kali.

Namun, selepas lebih sedekad, nama Perlis terus menyepi dan seolah-olah hilang dalam peta bola sepak negara dengan rakyat Perlis ketika ini hanya menaruh harapan kepada PUFC yang membawa imej negeri ini beraksi dalam saingan Liga M3. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN