Pemerdagangan manusia terbesar di Wang Kelian tinggal sejarah

Pemerdagangan manusia terbesar di Wang Kelian tinggal sejarah

WARTAWAN yang mengikuti tinjauan semula ke lokasi penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma di Wang Kelian bergambar bersama Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHAD lalu, saya bersama seorang lagi wartawan Utusan Malaysia, Asyraf Muhammad dan jurugambar, Izlizan Othman berpeluang menjejak kaki semula ke lokasi penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma di Wang Kelian.

Kes pada 2015 di atas bukit itu pernah menggemparkan negara dan menjadi sejarah hitam membabitkan isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara.

Peluang menjejak kaki semula ke lokasi berkenaan menjadi pengalaman cukup berharga bagi wartawan untuk melihat sendiri situasi semasa keadaan di sana selepas sembilan tahun kejadian tersebut berlaku.

Perjalanan ke lokasi tersebut diketuai Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim bersama anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA), anggota dari Pasukan 69 Komando (VAT 69), Ulu Kinta serta kontinjen Polis negeri. Turut bersama Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin.

Jarak ke lokasi berkenaan sekitar 1.2 kilometer dengan ketinggian 380 meter di mana laluan di dalam hutan tebal itu pula agak mencabar dan berbukit yang curam.

Perjalanan dari bawah sekitar pukul 9.30 pagi menuju ke tapak base camp pertama itu mengambil masa kira-kira 45 minit. Jarak tapak base camp tersebut ke sempadan negara jiran difahamkan hanyalah sekitar 324 meter.

Dari base camp berkenaan pendakian menuju ke lokasi penempatan sementara dan kubur tersebut pula mengambil masa 10 ke 15 minit.

Berdasarkan maklumat, perjalanan menuju ke lokasi tersebut melalui laluan di Thailand adalah lebih mudah berikutan laluannya landai berbanding di laluan Wang Kelian yang muka buminya agak curam dan berbatu.

Perjalanan pergi dan balik ke lokasi berkenaan melalui laluan di Wang Kelian itu memakan masa hampir dua jam dengan menempuh hutan tebal dan mendaki laluan berbukit.

Bagi pihak polis, mereka turut melakukan tinjauan di sepanjang laluan berkenaan bagi melihat daripada aspek keselamatan sama ada masih menjadi laluan aktiviti penyeludupan atau jenayah lain rentas sempadan yang lain.

Hasil pemerhatian di lokasi penempatan sementara dan kubur berkenaan mendapati ia hanya menjadi ‘bekas’ dengan kelihatan pagar kawat berduri dibina di tapak itu yang telah dirobohkan dengan beberapa kesan peninggalan lain seperti lubang dalam yang dikorek oleh penjenayah terlibat. Malah, kesan tapak kubur besar yang ditemukan pada 2015 itu juga telah dimusnahkan.

Hasil pemantauan dan tinjauan tersebut, Ketua Polis Perlis juga mendapati bahawa tiada lagi sebarang aktiviti jenayah di kawasan itu malah tapak berkenaan juga adalah merupakan kes penemuan terakhir pada 2015.

Ironinya, kawasan berkenaan yang mempunyai sejarah hitam itu kini sudah selamat sepenuhnya daripada sebarang aktiviti pemerdagangan manusia.

Ia juga merupakan hasil kerja keras melalui pemantauan berterusan dan penguatkuasaan yang sangat baik oleh pihak berkuasa selama ini di kawasan Wang Kelian.

Persepsi kononnya Wang Kelian tidak selamat dan menjadi lubuk aktiviti pemerdagangan manusia sudah boleh dibuang jauh-jauh. Bagaimanapun, pihak berkuasa di sempadan juga perlu sentiasa memantau keadaan di sana agar kejadian 2015 itu tidak berulang.

Bagi penduduk setempat pula, mereka merasakan sudah tiba masanya zon aliran bebas yang banyak membantu meningkatkan ekonomi mereka sebelum ini kembali dibuka.

Kerajaan Pusat juga perlu melihat daripada aspek yang bersesuaian jika ingin membuka semula aliran bebas tersebut agar tidak mengganggu gugat keselamatan.

ZON ALIRAN BEBAS
Wang Kelian mempunyai 1,001 keunikan dan keindahan alam semula jadi yang boleh dimanfaatkan khususnya untuk sektor pelancongan dan lonjakan ekonomi penduduk setempat serta merancakkan pelancongan dan perniagaan antara dua negara jiran tersebut.

Sebagai rekod, zon aliran bebas Wang Kelian sebelum ini dihentikan operasi susulan daripada kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma pada 2015.

Kes tersebut merupakan isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara malah lebih 100 rangka manusia juga ditemukan di kawasan kubur itu, dipercayai daripada etnik Rohingya.

Berikutan penemuan tersebut, kerajaan Malaysia memutuskan untuk menutup operasi di zon aliran bebas Wang Kelian kerana dikatakan akan menyukarkan kawalan keselamatan sekiranya terdapat banyak aktiviti keluar masuk berlaku di kawasan sempadan di sana.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN