Pearly-Thinaah dirujuk pakar psikologi

Pearly-Thinaah dirujuk pakar psikologi

PEARLY Tan dan M. Thinaah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kemerosotan prestasi beregu No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah amat membimbangkan, sehingga mendorong Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk merujuk masalah mereka kepada pakar psikologi.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky berkata, beliau kalau boleh mahu membantu menyelesaikan masalah beregu No. 14 dunia itu dengan cara yang terbaik bagi membawa kedua-duanya kembali ke landasan yang sepatutnya.

“Kita sebenarnya telah membuat keputusan untuk membawa masuk bekas pakar psikologi Institut Sukan Negara (ISN), Frederick Tan.

“Bukan sahaja Pearly-Thinaah, malah pemain-pemain lain di bawah ABM akan mendapat sokongan Frederick yang pernah membantu Datuk Lee Chong Wei,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurut Rexy, prestasi Pearly-Thinaah pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City, dekat sini, tidak bagus untuk perkembangan beregu itu terutama mereka kini dipersiapkan bagi memburu slot ke Sukan Olimpik, Paris, Julai ini.

Jelasnya, sebagai jurulatih, beliau sendiri tidak mampu memberikan jaminan sama ada beregu itu memiliki masa depan yang cerah, melainkan mereka sendiri yang harus mengubah sikap.

“Saya tahu (peminat) cuba cakap ada masalah antara mereka berdua. Selepas ini, kita akan ada pakar psikologi sepenuh masa dan akan bekerja keras berhubung perkara ini,” ujar bekas juara dunia itu.

Untuk rekod, Frederick bukanlah calang-calang pakar psikologi kerana beliau memiliki pengalaman luas membantu ramai pemain kebangsaan termasuk pernah berkhidmat untuk skuad boling kebangsaan.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi tulang belakang kepada kejayaan legenda badminton tanah air, Chong Wei bermula 2007 hingga 2012.

Rexy juga berharap ruang perlu diberi kepada Frederick bagi membantu Pearly-Thinaah dan pemain-pemain lain dalam program Road to Gold (RTG) agar matlamat Malaysia memburu pingat emas pada temasya empat tahun sekali itu mampu dijelmakan.

“Frederick akan tiba pada 23 Februari ini dan dia akan membantu pemain-pemain RTG, jadi kita perlu berikan peluang kepada beliau untuk selaraskan semula pemain dan bantu mereka dapatkan emas Olimpik pertama.

“Tugas kami belum selesai dan perlu bekerja keras, begitu juga pemain. Untuk dapatkan pingat emas, buka hanya harapkan kemahuan peminat dan jurulatih tetapi pemain juga perlu berjuang untuk dapatkannya,” tegas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN