KUALA LUMPUR: Pengendali Maybank, Azrul Effendy Bistamam bangga terhadap prestasi anak buahnya yang memberangsangkan berpesta gol menewaskan Young Elephants-Pahang 9-0 dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL).
Walau bagaimanapun, beliau mahu anak-anak buahnya mengekalkan prestasi cemerlang itu dan tidak mahu keciciran mata untuk kekal bersaing di tangga teratas liga.
“Saya amat berpuas hati dengan prestasi mereka (Maybank) saban hari. Saya lihat cara mereka bermain semakin cemerlang selepas menukar strategi semasa seri menentang KL City, Jumaat lalu.
“Walau bagaimanapun, saya tidak mahu mereka tercicir mata menentang UiTM esok untuk kekal di tangga tiga teratas sehingga penghujung musim,” katanya.
Dalam pada itu, satu lagi perlawanan membabitkan pendahulu liga, TNB yang menentang Kuala Lumpur City pula menyaksikan anak-anak buah Nor Saiful Zaini berpesta jaringan dengan melakar kemenangan 13-0.
Azrai Aizad Abu Kamal mencuri tumpuan apabila meledak lima gol dalam perlawanan itu, sekali gus memintas rakan sepasukan, Jang Jonghyun untuk menjadi pendahulu senarai penjaring terbanyak liga dengan 17 gol.
Sementara itu, Nurinsafi Sporting turut menyertai untuk berpesta gol menewaskan JM Antsbees 10-4 dalam perlawanan kelmarin.
Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi cemerlang mencipta lima gol daripadanya untuk berada di tangga keempat liga.
Juara bertahan MHL, Pasukan Hoki Terengganu (THT) kekal bersaing di tangga teratas dengan menang ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Tonggak utama THT, Faizal Saari meledak dua gol untuk mengekalkan kemenangan enam perlawanan berturut-turut buat pasukannya. – UTUSAN










