Mampukah Anwar bertahan hingga habis penggal?

Mampukah Anwar bertahan hingga habis penggal?

ANWAR IBRAHIM dijangka mampu mengekalkan pentadbirannya sehingga tamat penggal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA dibuat tinjuan dalam kalangan kelompok etnik mengenai tajuk artikel ini, saya pasti jawapannya tentulah berbeza. Jawapan dari kelompok etnik Melayu sahaja adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mampu bertahan sebagai Perdana Menteri ke-10 sehingga ke akhir penggal.

Jika pertanyaan ini ditujukan kepada etnik bukan Melayu sahaja di Semenanjung, jawapan mereka pastinya Anwar akan dianggap mampu bertahan hingga ke akhir penggal. Begitu juga jika soalan ini ditujukan kepada kelompok di Sabah dan Sarawak, saya yakin mereka juga bersetuju Anwar mampu bertahan hingga ke akhir penggal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Begitulah boleh dirumuskan persepsi atau sikap politik masyarakat Malaysia masa kini, iaitu berpecah dan manifestasi pemikiran politik yang berasaskan etnik atau perkauman.

Namun begitu, kaedah yang paling sesuai sekali untuk menilai sokongan terhadap seseorang Perdana Menteri dan jawapan kepada soalan mampu atau tidaknya seorang Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti adalah melalui undi percaya di Parlimen. Ini telah dilakukan pada awal penggal setahun yang lalu. Keputusannya, Anwar memperoleh undi kepercayaan yang selesa.

Baru-baru ini, heboh diperkatakan akan berlakunya ‘Langkah Dubai’ sepertimana tidak lama dulu telah berlakunya ‘Langkah Sheraton’ yang menumbangkan sebuah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dijangkakan bahawa Anwar akan kehilangan sokongan majoriti apabila beberapa ahli Parlimen terutama dari Barisan Nasional (BN) akan berubah arah untuk menyokong blok parti pembangkang bagi menubuhkan sebuah kerajaan baharu. Namun, semuanya tidak menjadi kenyataan.

Disebaliknya, kedudukan Anwar dan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya semakin kukuh apabila beberapa ahli Parlimen dari blok pembangkang mengistiharkan diri mereka menyokong Anwar dan kerajaan sedia ada tanpa ‘melompat parti’ kerana hal ini tidak lagi boleh berlaku apabila undang-undang baharu telah diluluskan oleh Parlimen bagi menyekat berlakunya perkara sedemikian.

Apapun, persoalan sama ada Anwar mampu bertahan hingga ke akhir penggal atau sebaliknya masih lagi relevan. Media sosial yang dikuasai puak tertentu terutama sekali oleh pembangkang akan terus-menerus memainkan isu ini seolah-olah kerajaan atau kepimpinan negara boleh bertukar sebelum sesuatu penggal PRU itu berakhir seperti apa yang pernah berlaku pada PRU14 lalu.

Ini boleh dianggap sebagai trend baharu dalam politik di negara kita. Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam PRU–PRU sebelum ini, bermula pada 1955 hinggalah kepada PRU13 tidak lama dulu. Pada masa itu, pemikiran serta sikap politik rakyat terutama pemimpinnya amat berbeza dan tidak seperti sekarang ini.

Untuk hari-hari yang mendatang, apakah kepimpinan Anwar akan terus diganggu-gugat oleh persoalan yang sama? Atau suasana semasa politik akan berubah dan akan membawa kepada kestabilan yang berpanjangan? Ia banyak bergantung kepada beberapa faktor.

Pertama, walaupun pemikiran orang politik akan sering berubah tetapi kecenderungan politik semasa menunjukkan bahawa sokongan terhadap Anwar selaku Perdana Menteri akan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Ia sudah jauh melebihi majoriti mudah yang diperlukan dan sudah pun melebihi majoriti dua pertiga.

Saya berasa yakin, dengan sifat-sifat kepimpinan yang karismatik yang ada pada sosok Perdana Menteri itu, bilangan ini bukan sekadar dapat dikekalkan, tetapi kemungkinannya semakin bertambah.

Kedua, dan ini perkara yang baharu sedang berlaku, pakatan parti pembangkang juga sedang dalam pergolakan. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikatakan mampu menjadi parti alternatif untuk orang Melayu terutamanya penyokong UMNO sedang dalam pergolakan kerana perebutan kuasa dalaman antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Sedikit sebanyak, perpaduan dalam pakatan pembangkang itu sendiri akan lemah dan tergugat.

SOKONGAN YDPA
Aspek ketiga ialah perubahan kepada kepimpinan tonggak negara itu sendiri yang baharu sahaja berlaku. Kerajaan yang berkuasa kini dianggap sebagai Kerajaan Perpaduan pilihan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa Baginda memegang tampuk pemerintahan negara sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16. Pada hari hari terakhir Baginda Al-Sultan Abdullah bertakhta, Baginda masih menyuarakan harapan agar Perdana Menteri sekarang diberi masa yang mencukupi untuk menguruskan negara dengan melaksanakan apa yang difikirkan baik untuk rakyat jelata.

Susulan atau terdahulu dari titah dan hasrat Baginda itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga telah menzahirkan hasrat Baginda untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan, serta mahu kerajaan ini kekal stabil dan tidak diganggu-gugat.

Ini juga faktor penting yang membolehkan Anwar kekal menerajui negara hingga ke akhir penggal, entah-entah mampu mengekalkan kerusi Perdana Menterinya hingga ke penggal berikutnya sesudah PRU16?

Tindak-tanduk Anwar akhir-akhir ini yang begitu keras menangani rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa akan meningkatkan populariti serta sokongan terhadap beliau dari semasa ke semasa.

Tidak mustahil beliau juga akan muncul sebagai antara Perdana Menteri terbaik selain Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein dan Dr. Mahathir.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Presiden Persatuan Melayu Polinesia Sedunia dan Pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN