Malaysia juara Kumpulan B jumpa Singapura di suku akhir

Malaysia juara Kumpulan B jumpa Singapura di suku akhir

LEE Zii Jia melakar kemenangan straight set 21-16, 21-13 ke atas Lin Chun Yi dalam acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024 di Shah Alam, malam tadi. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara muncul juara Kumpulan B selepas menumbangkan Taiwan 3-2 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, malam tadi.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia bakal berdepan Singapura pada peringkat lapan terbaik, esok, selepas undian semula dilaksanakan sebaik perlawanan peringkat kumpulan berakhir tengah malam tadi.

Dalam perlawanan menentang Taiwan, mata pertama skuad negara diraih menerusi pemain No. 10 dunia, Lee Zii Jia yang melakar kemenangan straight set 21-16, 21-13 ke atas Lin Chun Yi.

Zii Jia ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, strategi yang dicatur jurulatihnya menentang Chun Yi semuanya menjadi.

“Anda semua dapat melihat permainan saya tadi berjalan dengan lancar, apa yang jurulatih minta saya lakukan, saya berjaya keluarkan dalam gelanggang,” katanya.

Ketika ditanya perbezaan persembahannya sewaktu tewas kepada Chun Yi pada Malaysia Masters, tahun lalu, Zii Jia memberitahu, sukar untuk membuat perbandingan kerana kedua-dua kejohanan itu memiliki perbezaan suasana begitu juga dengan strategi.

Bagaimanapun, jelasnya, apa yang ketara dapat dilihatnya ialah prestasi, tahun ini, jauh lebih baik berbanding 2023.

“Cuma saya mahu memberikan pujian kepada Chun Yi yang merupakan seorang pemain muda yang sedang meningkat naik dan dia pemain yang sangat bagus,” ujarnya.

Kemenangan yang dicatat Zii Jia, bagaimanapun, gagal diteruskan gandingan No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tersungkur di kaki beregu pecahan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Lee Yang 21-23, 17-21.

Namun, perseorangan kedua negara, Leong Jun Hao kembali meletakkan Malaysia mendahului 2-1 selepas dia mengetepikan Lee Chia Hao 21-19, 21-17.

Beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang turun sejurus selepas itu memastikan kemenangan menjadi milik skuad negara selepas menewaskan Wong Chi-Lin-Yang Po Han 21-19, 21-14.

Mendahului 3-1, Malaysia yang mempertaruhkan pemain berusia 19 tahun, Eogene Ewe selaku perseorangan ketiga ekoran Ng Tze Yong yang direhatkan dengan Jun Hao menggalas tugas perseorangan kedua tunduk kepada Chi Yu Jen 16-21, 14-21.

Sementara itu, untuk aksi suku akhir bagi berpasukan wanita, skuad kebangsaan diundi menentang Indonesia yang akan dilangsungkan pada pukul 10 pagi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×