MASIH tidak terlambat untuk kami berdua mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan yang baharu dilantik pada 20 Februari lalu.
Sebagai tokoh yang berpengalaman dalam bidang pendidikan serta inovasi dan kreativiti generasi, kami percaya semua pihak akan sentiasa memberikan sokongan kepada kepimpinan beliau dan seluruh warga pendidik agar lapangan pendidikan kita akan berjaya melahirkan generasi negara yang hebat dan muncul sebagai insan kamil serta memiliki karamah insaniah.
Demi menggapai impian ini, sudah tentu Dasar Perpaduan Negara (DPN) juga menjadi dasar payung yang melakarkan usaha berterusan bagi memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat apatah lagi dalam dunia pendidikan.
Konsep Perpaduan Dalam Kepelbagaian digunakan untuk melestarikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini. Dasar ini menetapkan hala tuju perpaduan negara dan bertindak sebagai pemangkin bagi pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan makmur. DPN merupakan dasar pertama negara yang khusus kepada pengukuhan perpaduan dan integrasi nasional.
Lima belas hari selepas Tahun Baharu Cina merupakan hari Cap Go Meh yang disambut menandakan berakhirnya perayaan tersebut. Pesta Cap Go Meh disambut dengan dengan kepercayaan yang diadakan secara besar-besaran termasuklah majlis makan besar iaitu saat-saat bermakna dinikmati penuh semangat oleh seluruh ahli keluarga.
Bunga api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi meraikan Cap Go Meh juga dianggap sebagai malam mencari pasangan yang mana para gadis akan berpakaian serba indah dengan harapan jodoh yang sepadan akan dapat ditemukan. Terdapat juga amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat pasangan. Buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai.
Demikian setiap diri daripada kita ada akar budaya masing-masing. Kami percaya setiap yang dijadikan oleh Yang Maha Kuasa sudah tentu memiliki rahsia dan kebijaksanaan tersendiri.
Setiap kita saling meraikan serta menghormati kepercayaan masing-masing dan ini diperlambangkan menerusi prinsip pertama Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan.
Mengamati prinsip pertama ini sudah tentu akan merefleksikan hal positif, optimis serta bertenaga dan akan dapat dirasakan oleh orang di sekeliling kita begitu juga sebaliknya.
Teruslah berdoa untuk kemakmuran dan kesejahteraan negara yang unik ini. Melalui tekad yang mendalam kepada konsep memahami setiap dari kita mempunyai agama dan kepercayaan masing-masing, itu tidak bermakna kita saling berbeza pandangan serta tidak dapat diselarikan dengan perjuangan menuju perpaduan yang utuh dalam kalangan kita demi negara Malaysia.
ALAM SEKITAR
Kami melihat kepentingan usaha perpaduan ke arah meningkatkan kesedaran berkaitan pemuliharaan alam sekitar pada setiap perayaan dan seterusnya diterjemah sebagai amalan akan terus dipergiat.
Penglibatan komuniti dan rasa tanggungjawab bersama terhadap alam sekitar masih rendah walaupun pelbagai program kesedaran telah dilaksana.
Kecaknaan kerajaan dalam memberikan teladan kepada rakyat dengan memperkenalkan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) sejak 2016 diharapkan diberikan perhatian serius oleh semua pihak.
Dengan menjadikan gaya hidup dan komuniti mesra hijau dan alami, kita dapat memberikan impak kolektif ke arah masa depan yang lebih lestari. Menyemarakkan konsep kehidupan lestari kepada komuniti dan masyarakat, mampu memberi impak besar terhadap perubahan iklim. Mesra alam sebagai tanggungjawab bersama tanpa mengira pangkat, kaum dan usia.
Sama ada tahun baharu mahupun Ramadan yang bakal menjelang, kita bersama-sama bertanggungjawab memastikan alam sekitar tidak menerima kesan akibat daripada kelalaian manusia. Pastikan kita sama-sama mengutamakan kebersihan dan keceriaan tidak kira di mana sahaja.
Seronok menantikan kedatangan Ramadan kerana ibadah tetapi juga saatnya menemukan aneka juadah. Dan bazar-bazar Ramadan menjadi lubuk selera dan aktif pula memproduksikan sampah ataupun sisa makanan yang melampau-lampau. Awas kita semua!
Keterlibatan aktif, hubungan dan komunikasi yang baik dengan jiran tetangga dalam inisiatif pembangunan lestari juga adalah satu usaha untuk menjaga kesejahteraan persekitaran fizikal dan keseimbangan alam sekitar.
Usaha ke arah pencapaian kualiti hidup yang baik bukan saja dilihat dari segi persekitaran yang memberi keselesaan kepada penduduk malah keupayaan dalam menyediakan keseimbangan alam sekitar kepada penduduk setempat.
Kehidupan berkualiti dalam masyarakat dan sistem sosial bermula daripada kesedaran setiap individu memahami isu-isu kelestarian dan berusaha untuk menyumbang kepada komuniti yang lestari.
Nilai kitar semula dan guna semula tin-tin minuman atau plastik untuk menyepadukan kemampanan ke dalam setiap aspek dengan inisiatif penglibatan komuniti.
Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina nyata tidak hanya dirasai oleh masyarakat Tionghoa, malah seluruh rakyat pelbagai kaum di negara ini turut sama tidak melepaskan peluang memanfaatkan cuti hujung minggu yang panjang dengan pelbagai aktiviti bersama keluarga.
Perayaan tahun baharu ini akan membawa kebahagiaan dan mengeratkan hubungan serta kekeluargaan sesama kita semua meskipun berbeza agama, budaya dan bangsa tapi kita tetap sehati sejiwa.
Kami memetik kata-kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa penting supaya pihak kerajaan dapat memfokuskan kepada usaha pembangunan yang lebih lestari.
Kita semua berusaha ke arah keadaan yang akan lebih makmur, ekonomi negeri lebih mampan dan masyarakat berbilang kaum serta agama akan sentiasa mengamalkan hidup bersatu padu.
Kami ingin mengajak masyarakat melihat semula kepentingan alam sekitar selari dengan semangat muhibah dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Semoga tahun baharu ini menyemarakkan lagi semangat sehati sejiwa meskipun kita berbeza agama, budaya dan bangsa.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia; Felow Majlis Profesor Negara dan Institut Masa Depan Malaysia.
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa di Dewan Bahasa & Pustaka.










