MENTERI Perumahan dan Kerajaan dan Tempatan, Nga Kor Ming telah mengemukakan cadangan mengangkat beberapa Kampung Baru Cina untuk dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Selain Selangor, beliau turut mencalonkan tujuh Kampung Baru di Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Johor serta meluluskan peruntukan sebanyak RM4.02 juta untuk pelaksanaan 22 projek pembangunan Kampung Baru di seluruh Pulau Pinang.
Pengiktirafan ini turut mengangkat warisan kebudayaan kampung itu terpelihara serta dilindungi di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972. Cadangan tersebut menimbulkan polemik dalam kalangan orang Melayu kerana dilihat bakal memberi impak sosiobudaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia, khasnya identiti negara.
Kampung Baru Cina dibangunkan menerusi Pelan Briggs untuk memindahkan dan menempatkan penduduk Cina ke kampung yang dikawal ketat oleh pasukan keselamatan sewaktu negara berada di bawah Pemerintahan Darurat (1948-1960). Langkah ini diambil untuk menyekat tindakan simpatisan dari kalangan masyarakat Cina yang kerap menyalurkan bantuan bekalan makanan dan ubatan kepada pihak Komunis.
Menurut Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib, Kampung Baru Cina bersifat mono-etnik kerana majoriti penduduknya yang berketurunan Cina mengamalkan budaya tradisi masyarakat berkenaan serta tidak fasih berbahasa Melayu, jika dibandingkan keluarga kaum Cina atau India di kawasan penempatan kampung Melayu dan berasimilasi dengan penduduk tempatan.
KRITERIA PENGIKTIRAFAN UNESCO
Adalah tidak mudah untuk menerima pengiktirafan dari UNESCO kerana terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi. Kriteria-kriteria tersebut merangkumi keunikan budaya atau alam semula jadi yang penting secara global, karya cipta manusia atau gabungan antara ciptaan manusia dan alam semula jadi yang menunjukkan kearifan tempatan, pengaruh besar terhadap masa atau budaya tertentu dalam seni bina dan teknologi serta landskap dan bukti budaya yang ada atau yang telah hilang.
Berdasarkan kriteria ini jugalah kewajaran mengangkat Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia mencetuskan polemik.
Jika dibandingkan Gunung Kinabalu, Gunung Mulu, Lenggong, Melaka dan Perak, pengiktirafan kepada tapak-tapak tersebut diberikan kerana ia berjaya memenuhi kriteria UNESCO seperti keadaan alam semula jadi di Gunung Kinabalu, Gunung Mulu dan di Lenggong yang menempatkan rangka manusia tertua Perak Man berusia lebih dari 10,000 tahun.
PERTEMBUNGAN IDENTITI NASIONAL DENGAN WARISAN BUDAYA
China sedang melalui proses transformasi ekonomi dan mulai perlahan-lahan meninggalkan anutan komunisme totok (bukan peranakan) untuk menganut ideologi kapitalisme bagi meletakkan kedudukan negara itu sebagai penyumbang ekonomi terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS). Oleh yang demikian, salah faham terhadap kaum Cina menerusi kaitan mereka dengan ideologi komunisme perlu diselesaikan menerusi penganjuran dialog peradaban dan diskusi bagi memperbetulkan pandangan tersebut.
Mengikut data dikeluarkan Kementerian Pendidikan di Parlimen pada 2020, terdapat peningkatan ketara jumlah pelajar Melayu yang mengikuti pengajian di sekolah aliran Cina iaitu dari 9.5 peratus pada 2010 kepada 15.33 peratus pada 2020. Tidak banyak kajian dijalankan bagi mengenal pasti punca dan faktor yang mendorong ibu bapa pelajar Melayu di sekolah Cina tidak lagi cenderung untuk menghantar anak mereka ke sekolah aliran kebangsaan.
Faktor lain yang perlu juga diberi perhatian ialah kurangnya minat serta pengetahuan tentang budaya selain kelemahan menguasai bahasa Melayu dalam kalangan generasi Z (lahir pada tahun 1997-2010) dan generasi Alfa (lahir selepas tahun 2010).
Kesimpulannya, cadangan mengiktiraf Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO dengan sendirinya membuka peluang meninjau kembali pengertian dari konteks pembentukan tamadun bangsa Malaysia dan memperbaharui identiti nasional Malaysia dalam konteks multikulturalisme.
Transformasi ekonomi dan sosial di China serta peningkatan kehadiran pelajar Melayu di sekolah Cina membuktikan berlakunya pertembungan dua budaya dalam dinamika sosial dan pendidikan di Malaysia. Ini jelas membuktikan perlunya dialog dan kajian lebih lanjut untuk mengintegrasikan warisan budaya dalam pembinaan identiti nasional sejagat, selain mempertahankan kepelbagaian sebagai aset utama negara.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Produk Seni Budaya, Jabatan Kebudyaan & Kesenian Negara.










